Home Politik PKR Pahang sokong Anwar terus pimpin parti

PKR Pahang sokong Anwar terus pimpin parti

Fuziah Salleh

KUANTAN – PKR Pahang hari ini menyatakan sokongan kepada Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memimpin dan menentukan masa depan parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang Fuziah Salleh berkata 10 daripada 14 ketua cabang PKR di Pahang menandatangani petisyen memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Anwar.

Mereka terdiri daripada ketua cabang Lipis, Cameron Highlands, Kuantan, Kuala Krau, Maran, Indera Mahkota, Raub, Jerantut, Rompin dan Temerloh.

“Empat lagi ketua cabang, iaitu Bera, Bentong, Pekan dan Paya Besar yang belum menandatangani petisyen itu sudah dihubungi, namun setakat ini masih tidak memberikan keputusan.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu membuat spekulasi dan menunggu jika ada perkembangan baharu,” katanya semasa ditemui pemberita selepas merasmikan program Global Village di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan UMP Holding di sini hari ini.

Program anjuran Kelab International Economic and Commercial Science Student Association (AIESEC) UMP merupakan program pertukaran pelajar untuk projek sosial. Turut hadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan proses mengumpul tandatangan ketua cabang negeri ini bagi menyatakan sokongan kepada Anwar bermula malam tadi.

Setakat ini, tujuh pengerusi MPN PKR telah menandatangani petisyen bagi menyatakan sokongan itu, iaitu Kedah, Perlis, Melaka, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Pulau Pinang.- BERNAMA