KUALA LUMPUR – Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong yang didakwa merogol pembantu rumahnya warga Indonesia dilihat seperti dilindungi sesetengah pihak dan seolah-olah kebal dari undang.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz berkata, ini kerana pemimpin DAP itu masih menjalankan tugas seperti biasa walaupun telah didesak oleh pelbagai pihak untuk berehat dari bertugas sehingga sisasatan lengkap dilakukan.
Tegas beliau, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini telah merosakkan institusi kehakiman dan perundangan dengan campur tangan politik untuk melindungi kesalahan anggota parti mereka sama seperti kes Wan Ji Wan Hussin yang didakwa atas Akta Hasutan.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang kes ini dengan serius kerana mampu menjejaskan hubungan baik di antara Indonesia dan juga Malaysia.
“Hal ini kerana, Pesuruhjaya Indonesia, Thaufiek Zulbahary juga berharap tidak ada sebarang kekebalan undang-undang terhadap suspek dan perlu diheret ke muka pengadilan.
“Kerajaan PH haruslah bersikap adil kepada mana-mana pemimpin yang melakukan kesalahan dan tidak campur tangan terhadap siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Najmil Faiz yang Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu menambah, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini turut mempersoalkan mengapa Yong belum dihadapkan ke mahkamah dan tidak ditahan reman.
Jelasnya, sedangkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Melaka, Ma’on @ Yunus Abu Samah telah pun dihadapkan ke mahkamah berikutan kes cabul yang dilakukan. – MalaysiaGazette