Home Nasional Semua kerajaan negeri digesa serius atasi pencemaran sungai

Semua kerajaan negeri digesa serius atasi pencemaran sungai

Dr. Xavier Jayakumar

BANTING – Semua kerajaan negeri digesa mengambil serius langkah mengatasi isu pencemaran sungai kerana perubahan cuaca tidak menentu kini memungkinan negara mengalami musim kemarau berpanjangan pada masa depan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata ini kerana isu pencemaran sungai bukan perkara baharu namun jika ia masih tidak diendahkan, negara bakal berhadapan masalah kekurangan sumber air bersih ketika menghadapi musim kemarau.

“Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, negara mungkin menghadapi musim kemarau yang boleh lebih 60 hari akibat berlakunya perubahan musim cuaca dan kita akan kekurangan sumber air jika isu pencemaran sungai masih tidak diatasi.

“Sebab itu, penguatkuasaan (dalam isu pencemaran sungai) harus diperkukuhkan dan semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan syarikat-syarikat berkaitan mesti memainkan peranan besar untuk mengatasi isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Tamil Daerah Klang di Stadium Jugra, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan hari ini mengatakan penguatkuasaan terhadap faktor pencemaran sungai-sungai di negara ini berada pada tahap lemah.

Memahami bahawa tindakan pemuliharaan sungai tercemar pasti mengambil masa lama, namun Dr Xavier menegaskan, perancangan teliti harus dimulakan segera dengan memberi keutamaan kepada usaha memulihara sungai yang paling tercemar terlebih dahulu.

Tambah beliau, kempen sayangi sungai yang pernah dilaksanakan sebelum ini juga akan terus dipergiatkan selain memupuk kerjasama dengan semua pihak termasuk penduduk, peladang dan syarikat pembakalan supaya mematuhi peraturan memelihara sungai yang dikuatkuasakan kini.

“Kami akan masuk ke sekolah-sekolah untuk mempergiat kempen sayangi sungai ini malah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah diminta supaya mewujudkan program-program pendidikan mengenai isu ini dengan lebih mendalam,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga akan menjalankan kajian sepenuhnya berkaitan sungai dan pencemaran yang mana dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), satu peruntukan untuk memelihara sungai termasuk penghasilan air terawat dan air mentah dirancang untuk disediakan.

Dalam pada itu, Dr Xavier berkata pihaknya merancang untuk menyemak semula Akta Perhutanan Negara dan membawanya ke persidangan Parlimen selewatnya-lewatnya Mac tahun depan untuk membuat beberapa pindaan.

Katanya, pindaan akta yang melibatkan hutan-hutan di Semenanjung Malaysia itu adalah bagi memperketatkan lagi pelaksanaan undang-undang tersebut termasuk hukumannya.

“Sekarang kita tengok orang masuk ke hutan (khususnya hutan simpan) tidak ada lesen dan kebenaran. Apakah tujuan mereka masuk ke hutan jika bukan berbuat sesuatu. Jika mahu masuk hutan, perlu mengisytiharkan apakah tujuan mereka.

“Disebabkan itu, langkah ini (semakan semula akta) adalah untuk mengehadkan kemasukan orang ke dalam hutan (khususnya hutan simpan) dan memberi kuasa kepada pengarah jabatan hutan dan penguatkuasanya supaya mereka dapat mengawal ekosistem hutan dengan lebih baik,” katanya. – BERNAMA