Home Dunia 2 pelancong AS didakwa bunuh polis Itali

2 pelancong AS didakwa bunuh polis Itali

Finnegan Lee Elder (kiri) dan Gabriel Christian Natale-Hjorth. foto Agensi

ROM – Dua pelancong Amerika Syarikat didakwa menikam sehingga mati polis tentera Itali dalam kejadian yang menggegarkan Itali.

Kedua-dua suspek yang masih menuntut – Finnegan Lee Elder, 19, dan Gabriel Christian Natale-Hjorth, 18, dari San Francisco menghadapi pertuduhan membunuh dan memeras ugut.

Polis berkenaan, Mario Cerciello Rega, 35 yang berkhidmat dengan polis tentera Carabinieri telah ditikam berkali-kali pada Jumaat lalu ketika cuba menahan kedua-dua suspek yang disyaki mencuri beg sandang.

Seorang lagi rakan mangsa cedera dalam insiden itu.

Kedua-dua suspek ditahan di sebuah hotel empat bintang di Prati dan mengaku melakukan perbuatan itu ketika siasatan dijalankan.

Mereka yang dibawa ke mahkamah di Rom tidak membuat sebarang pengakuan.

Polis yang mendedahkan rakaman video menunjukkan dua lelaki mengekori seorang individu di daerah Trastevere yang kemudian bertindak mencuri beg seorang lelaki yang mengandungi telefon dan wang tunai.

Lelaki yang begnya dicuri kemudian menelefon telefonnya dan salah seorang suspek telah menawarkan untuk menjual beg sandang kepadanya dan bersetuju untuk bertemu.

Pemilik beg sandang itu telah memaklumkan kepada polis yang kemudiannya bertindak mendekati kedua-dua tertuduh.

Salah seorang daripada tertuduh bertindak mengeluarkan pisau dan menikam Rega, yang memakai pakaian awam.

Rega yang baru berkahwin kurang dari dua bulan meninggal di tempat kejadian. – MalaysiaGazette