Home Nasional Pemuda Gagasan Sejahtera buat usul sistem pendidikan kenegaraan

Pemuda Gagasan Sejahtera buat usul sistem pendidikan kenegaraan

Ir Khairil Nizam

KUALA LUMPUR – Satu kertas cadangan akan disiapkan oleh pemuda Gagasan Sejahtera sebagai usul untuk membawa elemen kenegaraan ke dalam sistem pendidikan di peringkat menengah.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ir. Khairil Nizam berkata, kertas cadangan itu akan siap dalam tempoh sebulan lagi dan akan dibawa kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk dipersetujui.

Katanya, langkah itu adalah sejajar dengan matlamat yang diperjuangkan oleh menteri berkenaan apabila mahu had umur mengundi bagi warga negara Malaysia bermula dari usia 18 tahun.

“Secara kolektifnya kita setuju undi 18 tahun, tinggal lagi ada beberapa penambahbaikan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Kita kena beri pendedahan politik kenegaraaan di peringkat menengah dari tingkatan satu ke tingkatan lima jika boleh mengundi pada usia 18 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas Pusat di sini hari ini.

Terdahulu, gabungan sayap pemuda Gagasan Sejahtera iaitu dari parti Pas, Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) dan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mengadakan perbincangan sebagai langkah memperkukuh hubungan politik serta membincangkan perkara-perkara berkaitan isu semasa.

Sebanyak tiga perkara dicapai dalam pertemuan yang diadakan hari ini iaitu persetujuan menggandakan usaha mengadakan pertemuan berkala, membina dan memperkukuh hubungan permuafakatan dengan UMNO, komponen Barisan Nasional (MCA dan MIC), Gabungan Parti Sarawak Sarawak, NGO serta kelab-kelab persatuan anak muda.

Perkara lain yang turut dicapai dalam pertemuan hari ini ialah memperkasakan media, memperjuangkan isu-isu anak muda dan mengutarakan solusi berkaitan Islam.

Sementara itu dalam perkembangan sama Khairil memberitahu, sebuah program Town Hall Mega Anak Muda Malaysia akan diadakan pada 6 Oktober yang merupakan program pertama anjuran gabungan pemuda Gagasan Sejahtera.

Katanya, antara pengisian yang akan dilakukan pada program berkenaan ialah membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan kenegaraan serta penyelesaian yang harus diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan perkara berkenaan.

Ujarnya, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar turut diundang ke program itu bagi memberi semangat kepada anak muda selain pemuda UMNO, MCA dan MIC.

Tambah beliau, surat secara formal akan dihantar kepada menteri dan beliau meletakkan keyakinan tinggi mendapat kerjasama daripadanya kerana beliau merupakan pemimpin muda yang memperjuangkan undi seawal 18 tahun.

“Kita yakin beliau akan menerima tawaran ini sebab kita bercerita tentang kerajaan yang neutral, bagaimana nak membina sebuah negara Malaysia yang cakna kepada anak muda dan saya rasa itulah yang diperjuangkan oleh beliau,” katanya. – MalaysiaGazette