RAWANG – Seorang remaja lelaki lemas, ketika mandi bersama beberapa rakannya di sebuah tasik terbiar di Taman Widuri, Bukit Sentosa di Rawang dekat sini, hari ini.
Mayat Muhammad Ukail Raziq Waldan, 13, ditemui pada 4.43 petang kira-kira tujuh meter dari tebing tasik, setelah usaha mencari dan menyelamat dijalankan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Shah Alam.
“Mereka mandi di kawasan tasik itu yang dalamnya lebih kurang paras lutut… secara tiba-tiba mangsa ditolak dua rakannya ke air dan tidak timbul selepas itu,” katanya Pemangku Ketua Polis Hulu Selangor DSP Azman Ab Rahman.
Beliau berkata kejadian dilapor pada pukul 3 petang dan menurut PPDA keadaan dasar tasik itu mendatar tetapi berubah menjadi dalam secara mendadak.
Lokasi kejadian merupakan kawasan tasik terbiar yang diguna penduduk setempat sebagai kawasan rekreasi air.
Mayat remaja itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette