KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha menangani wabak denggi yang menjadi salah satu ancaman kepada penduduk di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, situasi kes dan kematian denggi di Malaysia telah menunjukkan peningkatan bermula Mei tahun ini dan sehingga 20 Julai lalu, sebanyak 72,356 kes denggi telah dilaporkan berbanding 38,190 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Menurutnya, ia merupakan peningkatan kes sebanyak 89.5 peratus dan jumlah kematian akibat wabak berkenaan pada tahun ini adalah sebanyak 108 berbanding 61 kematian pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 77 peratus.
“Kementerian Kesihatan berharap usaha-usaha dapat dilestarikan demi memastikan rakyat di negara ini sihat dan sejahtera serta bebas dari ancaman Demam Denggi.
“Ia seiring dengan inisiatif pembangunan negara yang mana aspek penjagaan dan perkhidmatan kesihatan adalah salah satu keutamaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Dzulkefly berkata, Hari Denggi ASEAN yang disambut pada 15 Jun setiap tahun di peringkat kebangsaan merupakan sambutan tahun ke-9 sejak
dilancarkan pada 2011.
Katanya, Sambutan itu bertujuan untuk mewujudkan inisiatif advokasi dalam membanteras demam denggi secara bersepadu serta meningkatkan iltizam dan usaha berterusan semua pihak yang terlibat bagi mencegah wabak tersebut.
Tambah beliau, tema sambutan ‘Hari Denggi ASEAN’ peringkat kebangsaan tahun ini iaitu “Banteras denggi, bermula dengan saya” merupakan tema yang bertepatan dalam membuktikan peranan setiap individu serta komuniti sangat penting untuk melakukan aktiviti pencegahan pembiakan nyamuk aedes.
Ujarnya, bermula pada 2001 sehingga 2019, telah terdapat 2,761 pasukan COMBI (komunikasi untuk kesan tingkah laku) ditubuhkan di seluruh Malaysia dengan keanggotaan seramai 30,958 sukarelawan dalam kalangan komuniti dari seluruh negara.
Jelasnya, pasukan tersebut bertindak sebagai agen perubah dan sebagai contoh dikalangan komuniti, yang mengamalkan aktiviti pencegahan denggi pada setiap minggu. – MalaysiaGazette