Home Politik Azmin tak mampu berfikiran waras

Azmin tak mampu berfikiran waras

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengelak dari pertanyaan pengamal media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Seorang ahli PKR hari ini membidas timbalan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat tidak waras dalam mengeluarkan kenyataan berhubung parti itu.

Ketua Cabang Parti Keadilan Tanjung Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, alasan Mohamed Azmin menyambut baik pendirian UMNO dan Pas untuk memberi dukungan penuh kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal tidak munasabah dan melampau.

“Azmin perlu berehat serta menerima rawatan khusus kerana kelihatan kurang sihat serta tidak mampu berfikir secara waras. Beliau perlu melepaskan semua jawatan di peringkat kerajaan dan parti.

“Malah, Azmin mengakui tidak mampu memikul tugas serta tanggungjawab sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi bila memperakui hanya kerjasama dengan Pas dapat memperkukuh ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

WhatsApp Image 2019-07-29 at 3.54.49 PM
Mohd. Yahya Mat Sahri

Mohamed Azmin hari ini secara terang-terangan berkata sokongan UMNO dan Pas terhadap Mahathir juga bukti keyakinan terhadap kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu juga berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbedaan politik akan tetap wujud namun setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat.

“Kepimpinan YAB Tun Dr. Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep shared prosperity yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette