KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini semakin kuat meminjam.
Bekas perdana menteri itu berkata, setiap bulan kerajaan meminjam sekitar RM10 bilion dengan itu hutang negara bertambah sekitar RM10 bilion tiap-tiap bulan.
Menurutnya, bulan ini, kerajaan meminjam RM10.5 bilion bayar dan balik RM1.1 bilion sahaja.
“Bulan Jun pinjam RM8 bilion. Bulan Mei pinjam RM12 bilion. Langsung tak bayar balik satu sen.
“Tiga bulan ini sahaja dah pinjam RM30.5 bilion – hampir cukup untuk melunaskan semua hutang RM32 bilion 1MDB dengan sepenuhnya,” katanya dalam hantaran di akaun Facebooknya hari ini.
Dengan itu, jumlah langsung negara kini telah mencecah RM807 berbanding RM686.8 bilion semasa pentadbiran Barisan Nasional.
Tambah Najib, setakat tahun ini sahaja, hutang sudah naik RM66 bilion.
“Bon Samurai sudah masuk tapi nak tambah lagi. Bon Panda masih ditunggu Guan Eng.
“Kalau hutang bertambah RM10 bilion setiap bulan, berapakah jumlah hutang negara bila sampai PRU15?,” soal Najib sambil mengingatkan janji PH untuk mengurangkan hutang.
Tetapi, apa yang diperoleh rakyat ialah kenaikan hutang dengan kali kali lebih cepat berbanding semasa di bawah kerajaan BN, dakwanya. – MalaysiaGazette