ETHIOPIA – Lebih 350 juta pokok ditanam di Ethiopia dalam tempoh sehari hasil inisiatif Perdana Menterinya Abiy Ahmed.
Pencapaian luar biasa itu dikatakan sebagai rekod dunia yang perlu diakui semua pihak ke arah memelihara bumi dengan tanaman hijau dan semulajadi.
Penanaman pokok merupakan usaha murni Abiy untuk mengubah landskap negara yang didakwa makin musnah dengan aktiviti penghapusan hutan dan perubahan cuaca.
Program Skim Legasi Hijau itu menyaksikan aktiviti penanaman pokok di 1,000 lokasi di Ethiopia.
Beberapa pejabat kerajaan turut ditutup pada hari berkenaan sebagai memberi laluan kepada kakitangan awam menanam pokok bagi menyuburkan bumi itu.
Pada Isnin semalam. Abiy menanam pokok di Selatan Ethiopia.
Negara Timur Afrika itu giat berkempen untuk menanam 4 bilion pokok antara Mei hingga Oktober tahun ini.
Setakat ini 2.6 bilion pokok dilaporkan telah ditanam di seluruh negara menurut jabatan pertanian.
Farm Afrika sebuah organisasi yang menguruskan Perhutanan Ethiopia berkata setakat ini kurang 4 peratus daripada tanah negara itu kini sudah diliputi hutan.
Pada penghujung abad ke-19, 30 peratus bumi Ethiopia dilitupi hutan.
Pertumbuhan populasi penduduk yang padat di Ethiopia keperluan tanah pertanian, penggunaan hutan yang tidak seimbang dan perubahan cuaca dikaitkan dengan punca penghapusan hutan secara agresif.
Beberapa organisasi antarabangsa dan tokoh perniagaan menyertai program penanaman pokok bersama penduduk negara itu yang mensasarkan untuk memadam rekod 50 juta pokok yang dicipta oleh India pada 2016.
Namun masih belum pasti jika Guinness World Records memantau projek penanaman pokok yang dimulakan Ethiopia.
Bagaimanapun Jabatan Perdana Menteri itu berkata perisian yang dibangunkan khas kerajaannya membantu mengira jumlah pokok yang ditanam.
Kritikan ke atas Abiy mendakwa pemimpin itu menggunakan program menanam pokok seluruh negara sebagai menutup masalah lain yang melanda di negara itu iaitu konflik etnik yang menyebabkan penghijrahan 2.5 juta rakyatnya. – MalaysiaGazette