Home Utama Ikrar Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16

Ikrar Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengucup Keris Kerajaan sebagai simbolik penerimaan kuasa Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 30 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini selamat ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam suasana penuh istiadat gilang-gemilang, lambang kemegahan sistem raja berperlembagaan yang menjadi amalan di negara ini.

Berikut adalah ikrar Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Istiadat Pertabalan di Balairung Seri, Istana Negara hari ini.

“BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM,

BETA AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG KEENAM BELAS.

DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNA SETIAP MASA AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA.”

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membacakan Surat Pengisytiharan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang mana kandungannya berbunyi :

“BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM,

BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK MALAYSIA IAITU DULI-DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN HAJI AHMAD SHAH AL-MUSTA’IN BILLAH PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI MAKA KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA TUANKU DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KEENAM BELAS.”

— BERNAMA