Home Seni Hidup Lelaki rapat tak semestinya semburit – Namron

Lelaki rapat tak semestinya semburit – Namron

Pengarah, Namron merangkul Anugerah Cerita Asal Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik menerusi filem One Two Jaga pada Festival Filem Malaysia ke 30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Lewat kebelakangan ini, nama Syafie Naswip hangat dikaitkan dengan dakwaan hubungan sejenis yang dikatakan punca pergaduhannya dengan bekas tunang Aishah Azman.

Dalam situasi yang menimbulkan tanda tanya ini, pelakon senior, Namron tampil memberi pesanan menerusi media sosial.

Meluahkan rasa kesal terhadap tanggapan warganet, pelakon itu menegaskan hubungan akrab di antara dua kaum yang sejenis tidak boleh ditafsirkan sebagai songsang secara membuta tuli tanpa bukti.

Justeru beliau menyeru agar warganet tidak sewenangnya mempercayai berita yang tersebar beberapa waktu ini.

“Kadang-kadang lelaki apabila berkawan dengan lelaki lain, ada ikatan yang membuatkan mereka jadi sangat akrab.

“Tapi tidak semestinya mereka ada hubungan songsang. Tidak semestinya mereka semburit.

“Jadi, jangan kita mudah sangat percaya dengan berita sebegini. Polis pun sedang menyiasat.

“Kadang-kadang orang salah faham apabila lihat sesama lelaki terlalu rapat, sampai menimbulkan rasa curiga pada kaum wanita.

“Tidak kira sama ada lelaki dengan perempuan atau sesama jenis, kalau kita hendak bercakap perlu ada bukti bukan main baca dan terus buat anggapan,” katanya menerusi Instagram.

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada penahanan Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 27 pada pagi 27 Julai lalu atas dakwaan memukul hingga mendatangkan kecederaan dan sengaja melakukan ugutan terhadap Aishah.

Insiden tersebut berlaku apabila bekas tunangnya meminta suspek tidak meneruskan hubungan songsang dengan seorang rakan sejenisnya.

Beliau walaubagaimanapun dibebaskan pada 28 Julai atas jaminan pihak polis.

Namron turut memberi semangat kepada Syafie yang disifatkannya sebagai pelakon yang baik agar kekal tenang.

“Tok ayah kenal pelakon lelaki ini, budaknya baik. Harap jangan terburu-buru dan kalau tidak pasti, jangan komen.

“Saya doakan kepada pelakon lelaki itu, supaya bertabahlah, tenang-tenang saja dan jangan ambil pusing sangat.

“Biarlah orang nak kata apa. Selagi belum ada bukti, kita tak bersalah,” tambahnya. -MalaysiaGazette