Home Politik Sumber berita Malaysiakini tidak wujud, dakwa Khaled

Sumber berita Malaysiakini tidak wujud, dakwa Khaled

Khaled
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menempelak portal Malaysiakini yang didakwa membuat kenyataan tidak tepat berhubung penyatuan ummah antara UMNO-Pas akan menyebabkan UMNO memberikan kerusi-kerusi tradisinya kepada Pas.

Naib Presiden UMNO itu menegaskan bahawa laporan tersebut adalah satu penipuan oleh Malaysiakini.

Malah, beliau turut menuntut Malaysiakini untuk mendedahkan sumbernya jika kenyataan yang ditulis itu benar.

Khaled percaya sumber berita itu tidak wujud pun dan kenyataan seperti ‘menurut sumber’ adalah sekadar untuk mengaburi mata pembaca.

Ini kerana, dalam Piagam Kerjasama UMNO-Pas yang akan dimeterai pada September nanti, tidak wujud perbincangan atau sebarang penetapan kerusi.

Kedua-dua parti berasakan adalah pramatang untuk perkara seperti pembahagian kerusi dibincangkan sekarang.

Sebaliknya, fokus piagam kerjasama kedua-dua parti ini adalah untuk memperkemaskan tata kelola bagi menjayakan kerjasama antara kedua-dua pihak, jelasnya.

“Keutamaan UMNO-Pas kini adalah menjadi suara dan pembela kepada orang Melayu Islam serta mencari jalan ke hadapan yang terbaik untuk Malaysia secara keseluruhannya.

“Ini adalah perkara yang dilihat tidak diberikan perhatian oleh kerajaan sekarang,” katanya yang kesal dengan tindakan Malaysiakini yang terlalu berpolitik dan terlibat secara langsung dalam usaha mensabotaj kerjasama penyatuan ummah ini.

Semalam, portal tersebut melaporkan UMNO  sedia menyerahkan kerusi tradisinya kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 melalui formula agihan kerusi 50-50.

Malaysiakini yang memetik sumber sebagai berkata memaklumkan keputusan itu diambil bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan terkandung dalam piagam kerjasama antara kedua-dua parti.

Bagaimanapun ia tidak membabitkan kerusi di Sabah dan Sarawak

Khaled berkata, sebagai pengamal media, Malaysiakini sewajarnya memeriksa dan menentu sahkan terlebih dahulu sebarang khabar angin yang diterima oleh mereka atau tidak cuba membuat sebarang penipuan atau laporan yang tidak tepat.

Lebih dikesalkan, katanya, ini bukan kali pertama portal berkenaan berbuat demikian.

“Saya yakin, ini juga tidak akan menjadi terakhir,” ujarnya yang menaruh harapan sebarang usaha mensabotaj kerjasama UMNO-Pas sama ada oleh pihak lawan mahupun oleh pengamal media yang suka menangguk di air keruh. – MalaysiaGazette