MUNICH – Gareth Bale tidak cergas untuk menyertai skuad Real Madrid ketika menentang Tottenham Hotspur pada perlawanan persahabatan pra musim di Munich, kata pengurus, Zinedine Zidane.
Semalam pemain antarabangsa Wales itu yang terlepas peluang beraksi dalam Audi Cup menyaksikan Spurs menang 1-0, berikutan kegagalan cadangan pemain itu berpindah ke China.
Media British melaporkan lembaga pengarah Real enggan meluluskan penghijrahan Bale, dengan Jiangsu Suning mahu memiliki pemain berusia 30 tahun itu menerusi pemindahan secara percuma, lapor Reuters.
“Dia tidak menyertai kerana tidak cergas,” kata Zidane kepada wartawan selepas perlawanan di Allianz Arena.
“Selepas bercakap dengan doktor, perkara terbaik untuk dilakukan untuk dia ialah tinggal di Madrid. Dia tidak ikut dan berlatih di sana. Ia adalah keputusan bersama antara pemain, kakitangan perubatan dan jurulatih,”.
Bale, yang memenangi empat kejuaraan Liga Juara-Juara sejak menyertai Real dari Spurs pada 2013, dilihat tidak lagi menjadi pilihan kelab Sepanyol itu selepas Zidane berkata pada minggu lalu bahawa pemain itu ‘hampir meninggalkan (kelab)’.
Dengan berbaki kurang daripada seminggu jendela perpindahan akan tamat, Spurs hanya membawa masuk dua pemain, salah seorang daripadanya ialah Jack Clarke.
Mauricio Pochettino, yang sebelum ini menjauhkan diri daripada urusan kelab berkata, jawatan beliau sepatutnya ditukar daripada pengurus kepada jurulatih memandangkan dia tidak mempengaruhi perpindahan pemain yang dilakukan.
“Saya tidak berkuasa dan saya tidak mengetahui mengenai keadaan pemain saya,” kata pengurus warga Argentina itu.
“Tidakkah kelab perlu menukar jawatan dan diskripsi saya? Tugas saya kini untuk melatih pasukan ini. Ia bukannya soalan kepada saya, ia adalah soalan kepada kelab dan mungkin mereka perlu tukar jawatan saya,” katanya. – Agensi