Home Nasional Jambatan angkat dibuka esok – MB Terengganu

Jambatan angkat dibuka esok – MB Terengganu

Laporan Perangkaan Penting Malaysia 2020 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penduduk Kuala Terengganu paling subur di negara ini.- Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Setelah lebih enam minggu ditutup kepada orang ramai, jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, akan dibuka semula mulai 6 pagi Khamis.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan angkat tersebut, namun pengguna tidak dibenarkan meletak atau memberhentikan kenderaan kerana tindakan itu boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.

“Pengunjung yang ingin melawat (jambatan angkat ini) diminta meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan dan menggunakan tangga atau lif.

“Ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi, dan (mereka juga boleh) menggunakan tangga atau lif di menara jambatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai operator di jambatan tersebut.

“Pada masa ini, pihak kontraktor utama masih berada di tapak projek untuk memberi latihan kepada pasukan operator Terengganu Incorporated Sdn Bhd sehingga 30 Sept 2019.

“Semoga pembukaan jambatan ikonik ini akan memberi impak kepada sektor pelancongan Terengganu seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat di samping memperkenalkan negeri ini di mata dunia,” katanya.

Beliau turut berharap agensi pelancongan dapat memasukkan lawatan ke jambatan angkat itu dalam salah satu pakej lawatan pelancong ke Terengganu, selain produk pelancongan sedia ada.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter itu mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat.

Jambatan bernilai RM248 juta itu adalah yang keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.

Untuk rekod, jambatan itu dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun lepas untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.

Setelah tamat pengujian sistem, jambatan angkat itu ditutup semula kepada orang ramai pada 17 Jun lepas bagi tujuan pentauliahan komponen lain projek itu serta pelaksanaan beberapa penambahbaikan.

— BERNAMA