Home Politik Lima ADUN Bersatu Selangor gesa henti desak Tun M letak jawatan

Lima ADUN Bersatu Selangor gesa henti desak Tun M letak jawatan

SHAH ALAM – Kesemua lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menggesa pelbagai pihak supaya berhenti mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Mereka ialah Abdul Rashid Asari (Selat Kelang); Sallehudin Amiruddin (Kuang); Mohd Shaid Rosli (Jeram); Harumaini Omar (Batang Kali) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

“Buat masa ini tidak nampak keperluan untuk Dr Mahathir melepaskan jawatan, misi memulihkan negara adalah jauh lebih penting,” kata Sallehudin yang mewakili kelima-lima ADUN itu kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Sallehudin turut mendakwa separuh daripada 56 ADUN di Selangor menyokong Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga penggal berakhir.

“Berdasarkan maklum balas yang saya terima dan pertemuan tidak langsung saya dengan kebanyakan mereka (ADUN), mereka mahu Dr Mahathir kekal, ” katanya.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sokongan PAS dan UMNO terhadap kepemimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal membuktikan keyakinan rakyat terhadap negarawan ulung negara itu.

— BERNAMA