Home Utama Najib akui tempat duduknya ditukar

Najib akui tempat duduknya ditukar

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hari ini menjelaskan spekulasi tentang ketidakhadiran beliau pada majlis istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara semalam.

Menurut bekas perdana menteri itu, ketidakhadirannya bukan disebabkan kekeliruan.

Sebaliknya, beliau menerima panggilan pada pukul 6.30 pagi bahawa tempat duduknya telah ditukar.

Jelasnya lagi, selepas menerima panggilan itu beliau tidak sempat mengambil pakaian di Pekan.

“Sepatutnya duduk di tempat ke-10 sebagai bekas Perdana Menteri mengikut protokol istiadat tetapi ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

“Pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas PM tak sama. Setiap jawatan ada protokolnya,” kata Najib bagi menjawab tanda tanya banyak pihak.

Semalam, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan Najib tidak hadir pada majlis istiadat itu disebabkan tempat duduk Ahli Parlimen Pekan itu telah diubah saat akhir.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, sumber memberitahu terdapat sedikit kekecohan apabila anggota keluarga diraja mendapati tempat duduk Najib Razak telah diubah ke bahagian belakang.

Kata Lokman, keputusan tersebut telah menimbulkan rasa tidak senang pihak istana kerana terdapat campur tangan politik dan menegaskan susunan kerusi itu hendaklah dibuat selaras dengan protokol yang diwartakan kerajaan.

“Tempat duduk disusun semula dan ia tidak disentuh sehingga pukul 7 pagi sebelum Pejabat Perdana Menteri masuk dan mengarahkan untuk memindahkan ke barisan Orang Besar Pahang, sebagai Dato Shahbandar dari Pahang.

“Perubahan susunan kerusi hanya dimaklumkan kepada pihak Najib pada saat-saat akhir awal pagi tadi.

“Masa terlalu singkat untuk Najib menyediakan pakaian rasmi Orang Besar Pahang kerana pakaian dan orang yang biasa membantu beliau bersiap dalam pakaian rasmi tersebut didatangkan khas dari Pekan, walhal Najib perlu tiba di istana tepat pada 8.30 pagi.

“Orang biasa mungkin tidak menghargainya, tetapi di Istana, Najib amat menghormati dan mematuhi protokol kod pakaian,” katanya. – MalaysiaGazette