Home Nasional Saksi ‘sedar’ tidak sepatutnya berurusan dengan Jho Low, bukan pemilik akaun

Saksi ‘sedar’ tidak sepatutnya berurusan dengan Jho Low, bukan pemilik akaun

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 31 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Saksi ke -54 perbicaraan SRC International Sdn Bhd, Joanna Yu Ging Ping mengakui adalah satu kesalahan jenayah untuk berurusan dengan pihak ketiga dalam transaksi wang akaun bank.

Kenyataan itu merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebagai pihak ketiga membabitkan transaksi tiga bagi akaun peribadi Ambank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

MGF31072019_MAHKAMAH DS NAJIB40
Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu selepas hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 31 JULAI 2019.

Joanna mengakui demikian ketika disoal balas peguam bela, Harvinderjit Singh yang bertanya adakah dia sedar berurusan dengan pihak ketiga bukan pemegang mandat atau amanah merupakan satu kesalah jenayah.

Wanita itu mengakui dan mengangguk sebagai tanda sedia maklum terhadap peruntukan undang-undang itu.

Harvinderjit kemudian bertanya adalah secara ‘lisan’, Jho Low boleh dianggap sebagai pemegang mandat akaun Najib, jawab Joanna tidak.

Terdahulu dalam keterangan, Joanna beberapa kali mendedahkan pemegang mandat yang dilantik oleh Najib ialah bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil yang kini menghilangkan diri.

MGF29072019_NAJIB RAZAK MAHKAMAH_20
Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Harvinderjit Singh

Bagaimanapun, dalam keterangan balas Joanna sejak Isnin minggu lepas, jelas sekali dirinya serta saksi lain seperti Ung Su Ling banyak diberi arahan oleh Jho Low berhubung transaksi akaun Najib.

Joanna juga mengakui bagaimana dia memberi tunjuk ajar kepada Nik Faisal apa yang perlu ditulis dalam operasi melibatkan akaun peribadi Najib itu.

Perkara itu disahkan selepas Harvinderjit meneliti beberapa siri perbualan antara Joanna dan Nik Faisal berhubung dakwaan tersebut dan Joanna mengiyakan perkara itu.

Joanna juga mengakui cadangan peguam bahawa Najib berkemungkinan benar-benar beranggapan dana sebanyak RM42 juta sebenarnya adalah wang derma yang telah masuk ke dalam akaunnya.

Perbicaraan dengan soal balas saksi sama akan bersambung esok jam 9 pagi di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. –MalaysiaGazette