KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) mendakwa, DAP cuba mendapatkan populariti dalam kalangan orang bukan Islam menerusi fitnah terhadap pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.
Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyokong kenyataan saranan penulis Anas Zubedy supaya Zakir meninggalkan Malaysia secara sukarela jelas menggambarkan berlaku perpecahan yang ketara antara pimpinan dalam Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana katanya, kenyataan Kit Siang keluar setelah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kedudukan pendakwah tersohor dunia itu ibarat “ditelan mati emak, diluah mati bapa” hingga menyebabkan Malaysia dalam keadaan serba salah.
“Ini bermakna, fitnah terhadap Zakir Naik sengaja dipolitikkan oleh sesetengah pihak. Perbandingan agama yang dinyatakan ketika Zakir Naik berceramah tidak menghina golongan bukan Islam.
“Malangnya, sesetengah pihak tidak dapat berdebat dan berhujah dengan fakta-fakta yang dikemukakan oleh Zakir Naik, menyebabkan mereka menggelupur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir berkata, dari sudut undang-undang antarabangsa, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 11 Julai lalu memaklumkan Zakir tiada dalam senarai notis merah (RCN) Interpol, mahupun disebut sebagai entiti pengganas dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).
Keputusan Interpol untuk tidak mengeluarkan notis merah terhadapnya membuktikan bahawa dakwaan yang dikenakan terhadapnya adalah “rekaan dan dirancang”, ujarnya.
Tambah beliau, apa yang diperkatakan oleh Kit Siang itu jelas menggambarkan bahawa berlakunya ketidaksefahaman antara pimpinan tertinggi dalam PH. – MalaysiaGazette