Home Nasional Jho Low tipu pegawai Ambank

Jho Low tipu pegawai Ambank

Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Lo didakwa telah memanipulasi dan memperdayakan pegawai Ambank dengan mengatakan dana berjuta ringgit yang masuk ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri adalah wang derma.

Bagaimanapun saksi ke-54, Joanna Yu Ging Ping ketika perbicaraan SRC International yang masuk hari ke-47 hari ini mendedahkan, sejumlah wang bernilai RM27 juta sebenarnya datang dari syarikat tersebut.

Namun Jho Low berbohong mengatakan wang itu datangnya daripada kerabat di raja kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Joanna bersetuju dengan andaian peguam bela Harvinderjit Singh, berdasarkan surat arahan untuk memindahkan RM27 juta daripada sebuah syarikat pembinaan, Permai Binaraya Sdn Bhd kepada akaun 1MY Najib, dengan nombor akhir 880.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank itu juga mengesahkan RM35 juta daripada SRC International dipindahkan ke dalam akaun Putra Perdana Construction Sdn Bhd, dan RM34.99 juta kemudian dipindahkan pula ke dalam akaun anak syarikatnya, Permai Binaraya.

Harvinderjit: Adakah Jho Low cuba yakinkan kamu bahawa wang itu bukan datangnya dari SRC International? Itu satu pembohongan bukan?

Joanna: Ya betul.

Harvinderjit: Pembohongan yang sangat jelas.

Joanna: Betul tetapi…

Sebelum sempat Joanna sempat berkata selanjutnya, Harvinderjit telah memotongnya sambil memberi isyarat tidak mahu sebarang penjelasan.

Joanna juga mendedahkan sebahagian daripada jumlah itu sebanyak RM27 juta daripada Permai Binaraya, Jho Low menggelarnya dengan nama ‘Eangle 27’.

Harvinderjit juga memberi cadangan berkemungkinan Jho Low berbohong kepadanya dana itu bukan datangnya dari SRC International sebaliknya derma kerana mahu Joanna dapat menulisnya dalam dokumen bank yang d tulis olehnya.

Joanna bagaimanapun berkata mereka akan hanya berbuat demikian bagi matawang asing dan bukan bagi ringgit.

Joanna yang mengakui telah diminta berhenti dari Ambank pada 2015 mendedahkan Jho Low juga telah memintanya mereka-reka cerita dan berbohong menunaikan tiga keping draf bank bernilai RM139 juta yang dikeluarkan oleh akaun AmBank SRC International Sdn Bhd

Perbicaraan akan bersambung pada Isnin jam 2.30 petang di hadapan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali. -MalaysiaGazette