Home Nasional Memo larangan solat betul – pekerja

Memo larangan solat betul – pekerja

KUALA LUMPUR – Satu penafian dibuat Syarikat Hond Tat Industries Sdn Bhd mengenai dakwaan pihaknya melarang pekerja Islam menunaikan ibadat solat ketika waktu bekerja.

Kini pekerja kilang yang terletak di Klang itu tampil mengesahkan bahawa memo berkenaan adalah benar.

Menurut seorang pekerja yang enggan dinamakan, pihak pengurusan syarikat telah bertindak menukar waktu rehat bagi menyelesaikan hal tersebut.

“Memo berkenaan memang sah tetapi ia sudah diselesaikan, hal ini terjadi kerana wujud salah faham berikutan pengurus syarikat bukan beragama Islam tidak memahami waktu solat umat Islam.

“Wakil pekerja beragama Islam sudah berjumpa dengan pihak pengurusan syarikat dan perkara ini dianggap selesai,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Terdahulu syarikat berkenaan berkata memo tersebut palsu dan mengesyaki ia tindakan sabotaj kakitangan yang tidak berpuas hati terhadap syarikat tersebut.

Media hari ini melaporkan syarikat terbabit memaklumkan semua pekerja tidak dibenarkan pergi solat pada waktu bekerja kecuali pada waktu makan tengah hari sahaja.

Malah mereka juga akan dikenakan enda sebanyak RM500 jika didapati melanggar arahan.

Bagaimanapun, tiada ada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-manba pihak berhubung dakwaan itu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh. -MalaysiaGazette