Home Utama Polemik tulisan Jawi menular

Polemik tulisan Jawi menular

Tulisan Jawi adalah sebahagian daripada bahasa Melayu

PETALING JAYA – Kemasukan seni khat atau tulisan jawi dalam buku teks Tahun Empat semua sekolah termasuk sekolah vernakular mencetuskan perbincangan hebat, malahan akhbar berbahasa Cina Sinchew Daily meminta maaf kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong kerana melakukan kesilapan ketika melapor isu itu.

Minta maaf itu dibuat susulan laporan akhbar itu yang memetik Chin Tong berkata, isu pengajaran seni khat “sebagai isu kecil yang diperbesar-besarkan.”

Chin Tong menafikan beliau pernah berkata demikan manakala Sinchew Daily mengaku bahawa seorang penyelianya melakukan “pentafsiran secara berlebihan” ke atas percakapan Chin Tong semasa menyemak artikel yang ditulis wartawan.

Dalam teks ucapan asal yang turut disiarkan Sinchew Daily, Chin Tong antaranya menyebut beliau pernah belajar tulisan Jawi selama enam minggu semasa menghadiri kuliah Bahasa Melayu Klasik yang dikendalikan sarjana Ian Proudfoot  di Universiti Kebangsaan Australia.

Menurut pemimpin DAP Johor itu lagi, pembelajaran tulisan Jawi memberi pengalaman baharu kepadanya, tetapi beliau kekal dengan identiti sedia ada.

Chin Tong juga melahirkan rasa kesalnya terhadap polemik yang timbul berhubung isu tulisan Jawi selain menjelaskan Jawi bukan “bahasa”, tetapi sekadar “tulisan” (script).

Dalam pada itu, sekumpulan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan 15 orang pemimpin parti pelbagai peringkat khususnya dari Pemuda Sosialis DAP membantah Kementerian Pendidikan memasukkan pembelajaran seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat hingga Tahun Enam.

Kumpulan itu yang digerakkan oleh ADUN Tras di Pahang, Chow Yu Hui antaranya berpendapat pembelajaran Jawi akan menjejaskan polisi “tiga bahasa tiga tulisan” (bahasa ibunda, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris) di sekolah vernakular dengan mewujudkan keadaan “tiga bahasa empat tulisan.”

Menurut kumpulan itu, Kementerian Pendidikan juga tidak dapat memberi jaminan bahawa tulisan Jawi tidak akan dinilai dalam peperiksaan pada masa depan.

Sementara itu, Professor Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi dari Universiti UCSI pula berpendapat, jika pengajaran seni khat adalah untuk tujuan apresiasi, maka tulisan Nusantara yang lebih awal termasuk Sanskrit juga boleh dipelajari.

“Kenapa hanya belajar seni khat dan bukannya tulisan yang lagi awal,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Sarjana itu tidak membantah niat Kementerian Pendidikan untuk mengajar murid melakukan apresiasi terhadap seni khat, tetapi berpendapat ia tidak semestinya dilakukan dengan memasukkan seni khat dalam pendidikan formal, tetapi juga boleh dilakukan melalui lawatan ke muzium atau demonstrasi seni khat di sekolah.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan menjelaskan bahawa tulisan Jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak tahun 2016.

“Penggunaan tulisan Jawi di dalam buku teks sudah dilaksanakan sejak 2016 dan kalau nak diikutkan keputusan pada tahun itu, seni khat akan dimasukkan ke dalam buku teks pelajar Tahun Empat menjelang 2020,” kata Nie Ching. – MalaysiaGazette