Home Ekonomi RAM Ratings semak semula unjuran terbitan sukuk Global untuk 2019

RAM Ratings semak semula unjuran terbitan sukuk Global untuk 2019

KUALA LUMPUR – Terbitan sukuk Global mencecah US$72.7 bilion pada akhir Jun 2019 – melebihi unjuran tahun penuh pada kadar lebih rendah oleh RAM Ratings Services Berhad (RAM) antara US$70 bilion hingga US$80 bilion untuk tahun ini.

Oleh itu, RAM telah menyemak semula jangkaan tahun penuh itu kepada US$80 bilion hingga US$90 bilion, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Ini berdasarkan kepada penerbitan sekuriti Islam Bank Negara Malaysia (BNM) yang lebih baik daripada jangkaan, komitmen kerajaan Indonesia untuk menyokong agenda kewangan Islamnya, serta peranannya dalam meningkatkan kesedaran terhadap Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), jangkaan bahawa terbitan sukuk sektor awam GCC akan menyediakan asas yang mampan dan berpotensi untuk menyumbang lebih tinggi kepada campuran pembiayaan,” katanya.

Menjelang separuh kedua tahun ini, RAM menjangka Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran sukuk pada 2019, bersandarkan sokongan kukuh daripada kerajaan, BNM dan sektor swasta.

Menurut RAM, nilai terbitan kasar pasaran sukuk Malaysia pada akhir Jun 2019 melepasi unjuran RAM sebanyak RM100 bilion kepada RM120 bilion untuk keseluruhan tahun.

“Peningkatan 38.3 peratus kepada RM136.9 billon (akhir Jun 2018: RM99.0 bilion) dipacu terutamanya oleh kenaikan 61.1 peratus penerbitan sekuriti Islam BNM kepada RM14.5 bilion, diikuti oleh sektor korporat dengan RM65.1 bilion (+55.5 peratus) dan terbitan kerajaan (+9.9 peratus kepada RM39.0 bilion).

“Memandangkan kekurangan aset cair berkualiti tinggi untuk institusi kewangan Islam berbanding dengan nisbah mudah tunai BNM, kami menjangkakan BNM mempercepatkan penerbitan Bil Islam Antara Bank untuk tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, prestasi masa depannya akan tertakluk kepada permintaan pasaran dan mudah tunai, yang dilihat mempunyai harapan baik pada masa ini. – MalaysiaGazette