Home Utama ‘Alhamdulillah tiada panggilan dari Lembaga Disiplin’ – Amirudin Shari

‘Alhamdulillah tiada panggilan dari Lembaga Disiplin’ – Amirudin Shari

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. foto NOOREEZA HASHIM, 01 OGOS 2019.

KLANG – Sehingga kini Menteri Besar Selangor belum menerima panggilan dari Lembaga Disiplin PKR.

Amirudin Shari berkata, sehingga kini masih tidak menerima apa-apa surat dari lembaga tersebut.

“Tidak ada. Setakat ini tidak ada surat daripada Lembaga Disiplin saya terima.

“Alhamdulillah tidak ada lagi (panggilan daripada pihak Lembaga Disiplin PKR),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian The 10th University Scholars Leadership Symposium (USLS) 2019 bertempat di Pusat Konvensyen Setia Alam hari ini.

Nama Amiruddin menjadi perhatian apabila lantang menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan kemunculan video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Amirudin juga antara pemimpin parti yang dilaporkan tidak hadir Mesyuarat Pimpinan Pusat PKR baru-baru ini.

Beliau berkata, tiada perbincangan politik mahupun tentang kedudukan sesiapa dalam parti tersebut pada pertemuan di kediaman rasminya semalam yang dihadiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Azmizan Zaman Huri (Pelabuhan Klang), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Adhif Syan Abdullah (Dengkil), Mohd Zawawi Ahmad Mughni (Sungai Kandis) dan Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras).

Tidak terlibat secara langsung pertemuan tersebut beliau berkata, ia hanya taklimat rasmi dari Zuraida kepada DUN yang terlibat.

“Saya dengar menteri KPKT adalah beri taklimat di kawasan-kawasan yang terlibat, kawasan DUN yang terlibat pada fasa pertama.

“Saya tidak terlibat. Tidak ada melibatkan parti, tidak ada (pasal kedudukan sesiapa). Setahu saya tidak bincang pasal lain

“Saya pun datang sekejap kemudian keluar sebab saya ada urusan lain,” katanya.

Semalam, Zuraida berada di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor itu pada jam 8 malam hingga 10 malam.

Namun katanya, kehadirannya untuk memberikan penerangan berkaitan Dasar Komuniti Negara. – MalaysiaGazette