Home Seni Hidup SMK Sultan Abdul Aziz Shah wakil Selangor bicara berirama

SMK Sultan Abdul Aziz Shah wakil Selangor bicara berirama

Peserta Pertandingan Bicara Berirama dari SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang.

KUALA LUMPUR – Gabungan 30 suara dan lenggok badan para pelajar SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang telah memukau para juri, sekaligus melayakkan mereka untuk digelar sebagai juara Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Negeri Selangor Tahun 2019.

Pertandingan Bicara Berirama ini adalah anjuran pertama kali daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dan dikelolakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat.

Ia disertai sebanyak 10 buah sekolah yang terdiri daripada 300 orang pelajar dan 100 orang guru pembimbing dari Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, Sepang, Petaling Utama dan Petaling Perdana.

Juara pertandingan itu bakal mewakili Selangor ke Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Pahang.

Pemangku Pengurus Pusat PREC, Syahril Mohd Rashid berkata, program pendidikan seperti ini penting kerana ia merupakan salah satu cabang dalam menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat PREC.

“Pertandingan seperti ini dapat memupuk minat serta meningkatkan kecemerlangan murid, baik yang bersekolah di bandar mahupun di luar bandar dalam bidang kokurikulum akademik, di samping memperkukuh konsep-konsep pembelajaran bahasa Melayu yang telah dipelajari,” tambah Syahril.

Senarai pemenang Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Menengah Peringkat Negeri Selangor Tahun 2019 :

1. Johan : SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang (Daerah Hulu Langat)

2. Naib Johan : SMK Rawang (Daerah Gombak)

3. Ketiga : SMK Pulau Indah, Klang (Daerah Kajang)

4. Konduktor Terbaik : Muhammad Al Muzzammil Bin Abdul Haris (SMK Pulau Indah, Klang

5. Skrip Terbaik : SMK Seri Sepang (Daerah Sepang) – MalaysiaGazette