Home Utama Anggota PH yang matang akan sokong pentadbiran Tun M sepenggal

Anggota PH yang matang akan sokong pentadbiran Tun M sepenggal

Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Semua anggota Pakatan Harapan (PH) yang matang dan tidak memikirkan kepentingan diri sendiri akan bersetuju Tun Dr Mahathir Mohamad menghabiskan tempoh sepenggalnya untuk mentadbir negara.

Kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, pertikaian tentang perjanjian yang dibuat Perdana Menteri itu mengenai tempoh sepatutnya diberikan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh diperhalusi kembali menerusi mesyuarat.

“Itu boleh dibincangkan dalam mesyuarat PH jadi kalau semua anggota matang, mereka akan memikirkan mana lebih penting mengenai kemajuan negara atau kemajuan individu atau sesuatu parti.

“Kita kena lihat kepentingan menyeluruh kita tidak boleh pentingkan diri sekarang,” katanya kepada pemberita.

Jelas beliau, apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir pada waktu ini adalah demi untuk memudahkan pengurusan negara dengan sistem yang baik kepada penggantinya kelak.

Justeru beliau menegaskan pendirian yang senada dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Dr. Mahathir masih diperlukan untuk kekal memegang jawatan Perdana Menteri selama sekurang-kurangnya lima tahun.

“Untuk kepentingan negara dan rakyat, jika perlu untuk Tun M menghabiskan tempoh sepenggal saya akan mengalu-alukan dan saya doakan beliau panjang umur.

“Kalau dia dah rancang platform untuk bangun negara dalam masa dua tahun tapi ia perlu dilihat kesinambungannya perlu dilakukan lima tahun, satu penggal, supaya kalau nak ada perubahan, serahkan kepada orang lain senanglah sebab sistem sudah ada, hanya untuk teruskan sahaja,” tambah Zuraida yang juga merupakan Naib Presiden PKR.

Beliau mengingatkan pengamal media untuk tidak terlalu memberi tekanan kepada Dr. Mahathir dengan isu jawatan Perdana Menteri, sebaliknya membiarkan beliau menjalankan tanggungjawab kepada negara.

“Kalau saya menteri, saya tidak bagus tolong turunkan saya. Attitude itu yang perlu ada,” ujarnya.

Zuraida sebelum ini bersuara mempertikaikan perakuan sokongan terhadap Anwar yang dikeluarkan pemimpin cabang parti itu baru-baru ini.

Selain menganggap pihak yang menandatangani perakuan sokongan itu tidak semestinya mendokong Anwar beliau turut menyifatkan ia sebagai gerakan yang disusun. -MalaysiaGazette