Home Nasional Bagaimana lembu saya boleh mati dalam jagaan MDHS?

Bagaimana lembu saya boleh mati dalam jagaan MDHS?

HULU SELANGOR – Seorang penduduk setempat terpaksa berputih mata apabila salah seekor daripada empat ekor lembu miliknya yang dirampas Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mati ketika dalam jagaan pihak berkuasa tempatan itu.

Pengadu, seorang penternak, Desangu Murugan, 58, yang menghubungi MalaysiaGazette hari ini melahirkan rasa kesal kerana bukan sahaja salah seekor daripada lembu dipercayai mengandung enam bulan mati, sebaliknya ‘layanan’ diberikan pihak berkuasa itu juga amat mengecewakan.

Dakwa Desangu, lembu-lembu miliknya dirampas MDHS apabila didapati berkeliaran di kawasan perumahan sehingga penduduk setempat membuat aduan.

“Anak saya, Kannan sempat sampai ketika pihak MDHS sedang menaikkan lembu saya ke atas lori. Dua lembu sudah dinaikkan manakala dua ekor lagi dalam keadaan terbaring dengan seorang doktor haiwan di samping mereka.

“Dia bertanya kepada doktor tersebut mengapa lembu saya dalam keadaan seperti itu, katanya telah diberikan suntikan pelali. Ketika bertanya lagi kepada pegawai MDHS mengapa buat begini.

“Mereka hanya jawab secara ringkas, lembu-lembu itu berkeliaran di kawasan perumahan. Namun apabila Kannan mahu bertanya dengan lebih lanjut, dia diugut oleh salah seorang anggota polis akan menahannya kerana membuat gangguan menghalang pihak berkuasa.

“Kami kemudian diberitahu untuk membuat rayuan pada hari esok dengan MDHS dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemilikan lembu-lembu ini.

“Tetapi apa yang mengejutkan kami, seorang penguatkuasa MDHS dengan begitu bersahaja menyatakan bahawa salah seekor daripada lembu saya sudah mati dan telah ditanam juga tanpa pengetahuan saya. Saya terkejut, kecewa dan binggung,” katanya.

Desangu menambah, ketika Kannan cuba bertanya dengan lebih lanjut, pegawai tersebut bukan sahaja menjawab dengan acuh tidak acuh malah enggan memberikan sebarang perincian apa yang telah berlaku.

Desangu1Malah kata Desangu, ketika lembu-lembunya dirampas kelmarin, semua haiwan itu berada dalam keadaan sihat dan normal.

“Tidak sampai sehari, apa sebenarnya yang telah berlaku? Mengapa kami dilayan sedemikian? Mengapa saya atau Kannan tidak dipanggil terlebih dahulu dan maklumkan tentang kematian lembu kami?

“Banyak pertanyaan kami tidak dilayan, saya hendak tahu bagaimana lembu kami mati? Sekurang-kurangnya mengapa tidak panggil kami ketika kebumikan lembu kami? Saya hendak kebumikan lembu kami mengikut kepercayaan saya, itu juga tidak di layan.

“Adakah saya diperlakukan sebegini rupa kerana saya tidak sepandai mereka di MDHS? Mengapa perlakukan saya seperti ini, sememangnya saya terkejut bukan sahaja lembu saya di rampas selepas pukul 7 malah salah satunya mati.

“Bila tanya soalan, kamu enggan layan, apakah nasib kami? Adakah atas nama undang-undang, kamu boleh lakukan apa sahaja malah tidak ada keperluan untuk menjawab soalan saya?

“Saya membuat laporan polis kemudian terpaksa ke pihak media kerana saya tidak dilayan dengan betul, bukan saya tidak cuba. Sekarang, saya ingin mendapatkan lembu saya yang mereka kata sudah tanam, saya hendak tanam sendiri. Saya juga mahu tahu tentang adakah sebarang penjelasan tentang pampasan?

“Lembu itu kami layan seperti keluarga, ianya membawa rezeki kepada kami sekeluarga, sekurang-kurangnya hormatlah perasaan kami,” ujarnya dalam tangisan.

DEsangu3Dalam pada itu, usaha MalaysiaGazette untuk bercakap dengan pegawai MDHS berhasil apabila diberitahu pihaknya sedia maklum dengan isu ini dan mengesahkan kematian lembu tersebut.

Bagaimanapun, kata pegawai itu, lembu betina itu mati semasa dibawa ke stor tahanan, ianya dalam keadaan tidak stabil di atas lori selain gagal bernafas dengan baik.

“Perutnya juga sudah kembung dan rawatan tidak dapat diberikan dengan baik kepada lembu itu kerana sekumpulan lelaki India sudah berkerumun di tempat itu ketika sedang naikkan binatang-binatang itu ke atas lori.

“Semua SOP telah dipatuhi dengan baik malah ketika operasi berlakunya sedikit kekacauan sehingga melewatkan proses pemulihan lembu itu, hanya jika ada tangkapan baru kita laporan polis dan kebanyakan lembu selalunya tidak ada tanda atau bukti ianya milik seseorang.

“Lembu itu juga telah ditanam dengan segera sejurus selepas mendapat kelulusan daripada vaterinar dan lembu yang telah ditanam menggunakan SOP betul, kita tidak akan gali balik,” jelas pegawai itu. –MalaysiaGazette

Polis Report