JAKARTA – Lebih 100 buah rumah dilaporkan rosak teruk akibat kejadian gempa di Banten, Jawa Barat semalam.
Berdasarkan data sementara yang dikeluarkan Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia setakat pagi ini, 106 rumah kebanyakannya di Pandeglang dan Lebak, rosak teruk akibat gempa itu yangbermagnitud 7.4 Skala Richter.
Menurut kenyataan BNPB, seorang wanita berusia 48 tahun dikenali sebagai Rasinah, di Kecamatan Cigemblong, Banten, meninggal dunia akibat panik dan mengalami serangan jantung, manakala empat dilaporkan cedera.
Gempa bumi pukul 7.03 petang semalam yang berpusat di 147km barat daya Sumur-Banten itu turut menggegarkan kota Jakarta yang terletak kira-kira 120km dari Banten.
Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG) yang mengeluarkan amaran tsunami di Pandeglang, Lampung dan Sukabumi, turut menamatkan amaran itu pada pukul 9.35 malam tadi.
Menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian itu. – Bernama