KUALA LUMPUR – Sikap melampaui batas sindiket ceti haram hari ini didakwa berpunca daripada hubungan baik di antara Ketua Polis Negara terdahulu dengan Ah Long.
Bagaimanapun, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datu Nadzim Johan, keadaan itu ada perubahan dengan kepimpinan Polis Diraja Malaysia yang baharu
“Tapi kita harap dengan kepimpinan polis baharu ini, kita rasa ada perubahan, insya-Allah pasal dia telah putus di antara gengster besar ini dia tak ada line dan tak sampai ke Ketua Polis Negara.
“Kalau dulu mereka cukup rapat, ada perhubungannya, jadi semuanya boleh kawtim, sampai kes bunuh pun ada, yang melibatkan orang yang protes kepada judi haram sampai mati,” dakwanya pada sidang media selepas sesi Jom Sarapan Nasi Lemak Kopi O di PZ Cafe Western Food, Taman Keramat, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mendedahkan PPIM menerima aduan bagi kes penipuan sama ada keldai akaun dan Ah Long akan meningkat khususnya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kebanyakan aduan yang diterima pihaknya selepas peminjam gagal membayar semula pinjaman itu kerana kadar bunga yang tinggi dan tidak terkawal.
“Trend aduan Ah Long meningkat selepas raya, pasal sebelum raya pinjam duit, lepas itu tak boleh nak bayar, banyak lah aduan.
“Ah Long ini pun cukup luar biasa sekarang ini, sesetengah itu pinjam RM1,000 kena bayar sampai berpuluh ribu ringgit.
“Macam ada seorang itu pinjam RM50,000 dia kata mungkin sudah RM1 juta dia bayar dan mungkin RM2 juta.
“Jadi dia (Ah Long) ikut suka hati dia.
Ah Long ini kalau kita tidak banteras dia akan menjadi bertambah garang,” tambah beliau.
Berdasarkan rekod PPIM, badan bukan kerajaan (NGO) itu menerima aduan mengenai kes penipuan melibatkan keldai akaun dan Ah Long sehingga 50 kes sehari atau 1,500 kes sebulan.
Katanya lagi, sikap bermaharajalela Ah Long itu boleh dikurangkan sekiranya orang ramai turut membantu kerajaan dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya skim pinjaman ceti haram.
“Ini bukan perkara asing lagi, jadi kita kena bawa perubahan, kita semua mampu buat, maknanya kita semua main peranan buat sesuatu, bawa perubahan, apa yang kita buat.
“Hari-hari kita fikir untuk perbaiki diri kita sebab, kalau semalam tak baik daripada hari ini, kita rugi. Kalau esok tak baik daripada hari ini, maknanya kita celaka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette