Home Nasional Ibadat haji tuntut kekuatan emosi, fizikal

Ibadat haji tuntut kekuatan emosi, fizikal

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

SEPANG – Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati bakal jemaah haji negara agar mengikuti segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh Tabung Haji dan Kementerian Kesihatan supaya tahap kesihatan mereka sentiasa baik dan dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna.

Perdana Menteri berkata, haji merupakan ibadat yang memerlukan kekuatan fizikal dan emosi apatah lagi ketika musim haji, jutaan umat Islam dari pelbagai negara akan berkumpul di Tanah Suci.

Jelasnya, keadaan itu di sana pasti akan sesak di samping cuaca yang panas.

“Tuan-tuan dan puan-puan perlu berulang-alik ke masjid, selain tawaf, sa’ie, melontar dan lain-lain ibadat sunat. Untuk semua ini tubuh badan yang sihat dan cergas diperlukan.

“Ibadat ini juga memerlukan tuan-tuan dan puan-puan untuk lebih banyak bersabar, bertoleransi dan prihatin tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.

“Ingatlah ibadat haji ialah suatu dari ibadat dalam Islam. Bagi kita ibadat kita bagi orang bukan Islam, ibadat cara mereka. Kepada mereka agama mereka, kepada kita agama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepasa Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci Musim Haji 1440H/2019M di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA di sini hari ini.

MGF04082019_PM JEMAAH HAJI 09 (1)
Para jemaah haji khusyuk mengaminkan doa pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 OGOS 2019.

Mahathir turut meminta jemaah yang berada di Tanah Suci nanti mendoakan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan sejahtera.

Ini kerana jelas beliau, hanya dengan keamanan, masyarakat dapat melaksanakan ibadat menurut syariat yang dituntut oleh Allah SWT dengan tenang tanpa rasa bimbang atau takut.

“Saya juga ingin menasihati para jemaah untuk menggunakan kesempatan semasa menjadi tetamu Allah SWT dengan sebaik-baiknya.

“Elakkan pembaziran masa dengan perkara- perkara yang tidak berfaedah.

“Sebaliknya, penuhilah masa yang terluang dengan banyak membuat amalan wajib dan sunat seperti berzikir, membaca Al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT,” katanya. – MalaysiaGazette