Home Utama Mujahid jemput MP Kepong hayati keindahan tulisan jawi di Pameran Raja Kita

Mujahid jemput MP Kepong hayati keindahan tulisan jawi di Pameran Raja Kita

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas merasmikannya di Muzium Diraja, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dijemput melawat Pameran Raja Kita yang bermula hari ini bagi menghayati sejarah keindahan dan kepentingan tulisan jawi atau khat di negara ini.

Mengakui tidak membaca status berbaur penghinaan Lip Eng itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, isu tulisan jawi perlu dilihat sebagai warisan seni yang dijaga dan dipelihara.

Tegas beliau, amat malang jika generasi muda tidak mengenali tulisan itu yang sebelum ini turut menjadi penghubung negara kepada Ratu England, Queen Elizabeth.

“Mungkin kita boleh jemput Ahli Parlimen itu ke Pameran Raja Kita untuk melawat bagi menghayati semua komunikasi malah pengisytiharan (kemerdekaan) serta hubungan termasuk ucap tahniah kepada Queen Elizabeth ditulis dalam bahasa jawi yang cukup indah.

“Tulisan jawi itu sebahagian daripada sejarah kita dan bila kita cuba perkenal tulisan dan itu pun bukan subjek yang akan dinilai dalam peperiksaan.

“Sekadar menambah kesedaran tentang tulis jawi bagi mengaitkan dengan sejarah panjang negara bagi aspirasi Malaysia baharu bagi kita tidak mengenal diri antara mana-mana kaum tetapi bangsa Malaysia dan lihat sebagai sebahagian sejarah yang kena jaga dan dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Pameran Raja Kita oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Muzium Diraja di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau diminta mengulas kenyataan Lip Eng di Facebook miliknya kelmarin yang berbunyi:

“Sedang Menteri Pendidikan di negara-negara jiran merancang memperkenalkan bahasa program komputer kepada pelajar-pelajar muda, jangan kita menyapu tahi lembu di wajah kita dengan memperkenalkan khat. Tolonglah.”

Bagaimanapun selepas lima jam memuat naik status berbaur penghinaan itu, Lip Eng akhirnya menyunting hantaran selepas mendapat kecaman netizen.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata beliau tidak faham kena isu tulisan jawi menjadi satu masalah dan mereka yang tidak berpuas hati mungkin perlu membaca sejarah kembali.

”Mereka perlu datang pameran ini berkaitan sejarah negara dari zaman istana yang semuanya ditulis dalam tulisan jawi.

“Malangnya bagi anak-anak kita tidak tahu apa itu jawi dan hilang warisan besar.

“Kalau dia (Lip Eng) tahu, dia tak kan tulis. Kita kena lihat isu dalam kerangka besar iaitu warisan seni kaligrafi adalah generasi muda bukan sekadar keseronokan tapi sebagai penghargaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Khat dan tahi lembu: Ahli Parlimen DAP Kepong selar Harakah, mahu buat laporan polis