Home Ekonomi Perladangan komuniti buluh diperkenal pada RMK-12

Perladangan komuniti buluh diperkenal pada RMK-12

Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Perladangan komuniti buluh akan diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan termasuk kemudahan pemprosesan in-situ untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti tambah nilai pada rantaian bekalan industri itu.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata, kementeriannya ketika ini sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan tapak semaian komersial bagi memastikan bekalan bahan penanaman bagi perladangan buluh mencukupi di negara ini.

“Di peringkat kementerian, kami telah mengadakan beberapa perbincangan mengenai industri ini dan mahu bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri… jadi, saya merancang untuk mengunjungi beberapa menteri besar, yang negeri di bawah pentadbiran mereka, buluh tumbuh secara semulajadi,” katanya.

Kok berkata demikian kepada pemberita pada Persidangan Perniagaan Antarabangsa: ”Buluh Sebagai Pemacu Pertumbuhan Hutan Selain Kayu”.

Beliau mengambil perhatian bahawa antara negeri di Malaysia yang menanam buluh ialah Perak, Pahang dan Kelantan.

Menteri itu menggesa semua kerajaan negeri untuk mula menimbangkan penanaman buluh sebagai sumber pendapatan, untuk kerajaan negeri dan juga pekebun kecil.

“Di Malaysia, 74 peratus tanah pertanian ditanam dengan kelapa sawit, tetapi apabila harga minyak sawit mentah jatuh, ia menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

“Ini sebabnya kenapa kami meminta pekebun kecil untuk tidak mengusahakan satu tanaman sahaja tetapi juga memanfaatkan industri buluh untuk menampung kerugian mereka. Kita perlu memanfaatkan nilai pasaran tanaman ini,” kata Kok.

Perladangan komuniti buluh mengambil masa antara lima hingga 10 tahun untuk matang sebelum ia boleh dikomersialkan.

Sementara itu, untuk menyokong pertumbuhan industri ini, kerajaan memperuntukkan dana dalam Bajet 2020 untuk penyelidik menjalankan kajian terhadap industri buluh di negara ini.

Sehubungan itu, Kok menggalakkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia, institusi pengajian tinggi dan industri, untuk meningkatkan kerjasama usaha penyelidikan bagi pembangunan industri berasaskan buluh.

“Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada faedah ekonomi dan nilai sosial buluh, serta aplikasi baharu dan pembangunan produk buluh,” katanya.

Perdagangan buluh antarabangsa bernilai berbilion dolar setiap tahun.

Menurut Pertubuhan Buluh dan Rotan Antarabangsa, jumlah eksport produk berasaskan buluh global bernilai US$68.8 bilion pada 2018, berbanding US$60 bilion pada 2017, peningkatan 12.8 peratus.

China sahaja menyumbangkan 65 peratus daripada eksport buluh global.

Bagaimanapun, eksport buluh dan produk buluh dari Malaysia hanya berjumlah RM9.97 juta. Pasaran eksport utama ialah Jepun, Amerika Syarikat, Singapura dan Afrika Selatan. – MalaysiaGazette