LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengesahkan Ashley Young menjadi kapten Manchester United yang baharu walaupun pemain bek kanan itu mungkin tidak akan banyak beraksi.
ESPN FC melaporkan, tugas pertama Young sebagai kapten sepenuh masa di Old Trafford akan bermula pada musim baharu ini selepas sering menjadi kapten ketika ketiadaan Antonio Valencia pada musim lalu.
Sebelum ini laporan media menyebut David De Gea berminat untuk menjadi kapten United selain Solskjaer juga dikatakan mempertimbangkan Paul Pogba untuk menggalas jawatan sama.
Menjawab soalan media ketika diajukan soalan berkenaan jawatan kapten selepas jelajah pra musim menentang AC Milan, Solksjaer berkata De Gea jelas sekali dalam pertimbangannya.
“Dan Ash [Ashley Young] setiap kali ada di padang adalah kapten kami.
“Setiap kali Ash memulakan perlawanan, dia adalah kapten pasukan,” katanya berulang-kali.
Namun Solskjaer menjelaskan dia tidak memberikan jaminan Young akan menjadi pemain utama pasukan dan menganggapnya bukannya satu masalah.
Pengendali Norway itu membandingkan situasi Young dengan Gary Neville pada musim terakhir di United apabila pemain itu merupakan kapten utama pasukan, meskipun beliau terhad minit permainan.
Ketika itu, Nemanja Vidic kerap menjadi kapten Man United.
Solskjaer bagaimanapun masih belum mengesahkan kapten kedua atau pun ketiga United. – MalaysiaGazette