Home SISWA 5 siswa UTem sertai ULDP Axiata

5 siswa UTem sertai ULDP Axiata

Lima penuntut UTeM yang bakal menyertai Axiata University Leadership Development Program (ULDP) anjuran Axiata Group Berhad.

KUALA LUMPUR – Seramai lima orang Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam kalangan penuntut bertuah apabila telah terpilih untuk menyertai Axiata University Leadership Development Program (ULDP) anjuran Axiata Group Berhad.

Program itu bermula pada 31 Julai sehingga 10 Ogos 2019 di Menara Axiata Kuala Lumpur.

Para penuntut tersebut ialah Mohd Shahmirzzy Kelvin dan Raymond Wong Pak Sheng yang merupakan pelajar tahun 3 dan tahun 4 Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Siti Nuradibah Zainal Abidin  dan Fatin Nur Syahirah Fadhil pelajar tahun 4 Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan Ammar Jamaludin, pelajar tahun 2 Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim gembira dengan penyertaan mereka kerana ULDP merupakan program pembangunan kepimpinan universiti bertujuan untuk merekabentuk dan memajukan belia untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

Beliau berharap kelima-lima pelajar UTeM ini akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin kerana mereka antara yang terbaik  terpilih mengikuti program eksklusif dan menarik ini dan ditaja sepenuhnya oleh Axiata di bawah inisiatif Axiata Young Talent Programme.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap berkata, para mahasiswa akan didedahkan kepada lima elemen penting  pembentukan seorang pemimpin iaitu kemahiran kritikal dengan cara membina kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal dan kreativiti yang bakal meningkatkan prospek kerjaya, pengetahuan industri.

Para peserta akan belajar dari modul perniagaan terkemuka pada masa kini menerusi sesi perkongsian pengetahuan dan untuk para peserta yang cemerlang, mereka akan dianugerahkan ‘regional internship’ bersama Kumpulan Axiata menerusi peluang-peluang serantau.

Katanya, para peserta yang telah terpilih mengikuti program ini adalah antara yang terbaik kerana mereka telah layak dan terpilih setelah melalui proses tiga tapisan ketat dan program ini akan memberikan pengalaman dan pendedahan baru yang sangat berharga yang mana jumlahtajaan adalah RM12,000.00 bagi setiap peserta. – MalaysiaGazette