Home Nasional Banyak lagi pendedahan Jho Low manipulasi akaun Najib

Banyak lagi pendedahan Jho Low manipulasi akaun Najib

Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu selepas hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 31 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Genap hari ke-49 perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hari ini juga, peguam bela, Harvinderjit Singh telah memohon kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali supaya memberinya lebih masa untuk menyoal balas saksi ke-54, Joanna Yu Ging Ping yang sudah memberi keterangan selama lapan hari berturut-turut.

Semalam Joanna mendedahkan bagaimana ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memanipulasi tiga akaun peribadi Najib walaupun dia bukan pemilik mahupun pemegang mandat yang sah.

Joanna juga memberitahu mahkamah bagaimana dia sendiri mula menaruh syak wasangka dengan gerak geri Jho Low yang banyak menggunakan nama Najib ketika urusan transaksi juga tanpa membabitkan pemegang mandat, Nik Ariff Faisal yang merupakan bekas Ketua Eksekutif SRC International.

Kata bekas Pengurus Perhubungan Ambank itu, oleh kerana terlampau banyak transaksi ‘mencurigakan’ antaranya sentiasa terlebih pengeluaran dan bank sering perlu menunggu dana yang mencukupi didepositkan bagi menjelaskan cek yang dikeluarkan Najib, pihak bank mohon penutupan akaun-akaun itu.

Bagaimanapun, Jho Low enggan berbuat demikian sambil mendakwa Najib enggan menutup akaun peribadi miliknya sehingga pegawai Ambank mula mengesyaki Jho Low sendiri yang membuat keputusan tertentu.

Sebelum ini, Joanna pernah memberikan amaran supaya akaun itu ditutup kerana ia diawasi pihak bank berikutan bimbang terdedah kepada siasatan pengubahan wang haram kerana terdapat kemasukan deposit tunai yang banyak.

Joanna juga bersetuju RM5 juta yang dipindahkan daripada sebuah syarikat pembinaan, Putra Perdana Development Sdn Bhd ke akaun MY Najib bernombor akaunnya berakhir dengan 906 telah dilakukan dalam tempoh kurang daripada sehari.

Dedah Joanna, pemindahan RM5 juta itu bertujuan untuk mengeluarkan cek daripada akaun berakhir dengan nomber 906, menyebabkan sejumlah RM3 juta terlebih dikeluarkan.

Kata Joanna, sebenarnya Jho Low telah memintanya memindahkan kembali RM27 juta dan RM5 juta ke akaun AmBank tertuduh yang nombor akaunnya berakhir dengan 880 dan 906 pada 2014.

Dalam pada itu, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 13 Ogos untuk mendengar permohonan Peguam Negara Tommy Thomas supaya Najib memohon maaf berhubung hantarannya di Facebook.

Selain itu, semalam Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan penangguhan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Rahman Sebli sebulat suara membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk menangguh perbicaraan 1MDB atas alasan perbicaraan SRC International Sdn Bhd (SRC) kini masih berjalan.

Sebelum ini permohonan penangguhan perbicaraan kes itu gagal sebanyak tiga kali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 19 Ogos hingga 29 Ogos depan yang kemudian akan bersambung sepanjang September serta Oktober hingga 14 November.

Terdahulu, Tommy hari ini sekali lagi memaklumkan kepada mahkamah perbicaraan kes SRC yang turut dihadapi Najib dan sedang berjalan ketika ini, kemungkinan tidak dapat diselesaikan sehingga 15 Ogos depan. –MalaysiaGazette

Saksi sangsi terhadap gerak geri Jho Low