PUCHONG – Pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Ahli Parlimen, Senator dan Menteri Besar dari parti itu malam tadi adalah perjumpaan biasa.
Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, ia adalah pertemuan biasa yang sering dilakukan parti itu.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan bagaimanapun mengakui tidak menghadiri pertemuan itu kerana terikat dengan urusan Kabinet.
“Saya tidak pergi semalam kena hadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Berkaitan Hal-Hal Lain
“Itu pertemuan biasa yang dibuat (parti),” katanya yang mengesahkan pertemuan itu berlangsung malam tadi.
Beliau berkata demikian pada sidang selepas merasmikan majlis pelancaran program Usahawan Muda – Malaysia Baru dan Biasiswa Usahawan di Binary University di sini hari ini.
Ditanya lebih lanjut sama ada pertemuan diadakan bagi memberi sokongan kepada Mahathir untuk meneruskan tugas sehingga habis penggal, Mohd. Redzuan berkata, pemimpin Bersatu perlu sentiasa menyokong kepimpinan perdana menteri.
Tegas beliau, tiada apa-apa isu untuk mengadakan mesyuarat berbeza untuk menyatakan sokongan kerana agenda kerajaan untuk membangunkan negara sangat jelas pada masa ini.
Mohd. Redzuan diminta mengulas tindakan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuat naik gambar Mahathir mengadakan pertemuannya bersama Ahli Parlimen, Senator dan Menteri Besar dari parti itu di laman Twitternya.
“Kami memberikan sokongan penuh kepada Tun Mahathir dan akan fokus kepada perjuangan rakyat. Masalah rakyat, masalah kami.
“Tidak perlu bongkak dan sombong, ikhlas berkhidmat untuk semua,” tulisnya.
Bagaimanapun, Syed Saddiq tidak menyatakan lokasi dan tujuan pertemuan diadakan.
Sebelum ini, beberapa pimpinan Bersatu dari Selangor dan Johor mengeluarkan kenyataan mahu Dr Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum ke-14.
Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menyatakan pembangkang akan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.
Kenyataan Abdul Hadi turut disokong Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dr Mahathir dalam maklum balasnya berkata, beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tiba masanya. – MalaysiaGazette