KUALA LUMPUR – Pertubuhan dan persatuan Cina tidak ada masalah untuk kerajaan memasukkan tulisan Jawi dalam kurikulum bagi murid Tahun 4, jika beberapa cadangan mereka diterima.
Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif, Datuk Goh Hin San berkata, antara cadangan itu ialah Kementerian Pendidikan turut memasukkan seni kaligrafi Cina dan khat masyarakat India yang dinamakan Kalai bersama dalam kurikulum itu.
“Cadangannya cukup mudah dan ringkas, tetapi ia menjadi isu apabila ada pihak yang takut pada bayang sendiri memperbesar-besarkannya sehingga dilihat seolah orang Cina menentang tulisan Jawi.
“Masyarakat Cina dan India sekali pun tidak membantah keputusan Kementerian Pendidikan itu, tetapi apa salahnya memasukkan juga cadangan kita,” katanya pada media selepas majlis penyampaian hadiah dan sijil Festival Bahasa dan Sastera 2019 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.
Kata Hin San, tulisan Jawi bukan hak orang Melayu sahaja, ia adalah tulisan bersifat nusantara dan turut diamalkan secara serius oleh masyarakat Cina dan India negara ini.
Jelas beliau, apabila ada pihak sengaja memperbesarkan isu itu, ia dilihat seolah masyarakat Cina memusuhi tulisan Jawi.
“Kenapa kita nak bermusuh, Jawi juga jadi tulisan kita. Datuk nenek kita menggunakan tulisan Jawi masa itu untuk tujuan urusan rahsia.
“Dahulu negara kita dijajah, jadi mereka amalkan tulisan Jawi untuk berhubung kerana pihak penjajah tidak fasih tulisan itu.
“Kalau kamu (media) tanya saya pasal Batu Bersurat, saya rasa saya lebih tahu mengenainya berbanding kamu. Batu Bersurat ditulis dalam tulisan Jawi, kan,” katanya berseloroh.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan meneliti secara mendalam cadangan pihaknya itu sebelum membuat keputusan dengan lebih berhati-hati.
Ujarnya, beliau bersedia memberi kerjasama kepada kerajaan untuk bagaimana hendak mempertingkatkan lagi tulisan Jawi secara lebih positif.
Beliau juga mahu jika masyarakat Cina dan India terlibat dengan kurikukum baharu itu, biarlah mereka menyertainya secara sukarela. – MalaysiaGazette