WASHINGTON – Seorang pengasuh wanita ditahan selepas empat kanak-kanak di bawah jagaannya patah kaki dalam tempoh sehari.
Kejadian dilaporkan berlaku Julai lalu di pusat penjagaan harian kanak-kanak Kids Discovery Learning Centre, di Florida.
Suspek bernama Christina Marie Curtis, 25, ditahan polis ekoran insiden tersebut.
Empat kanak-kanak lelaki berusia antara 12 hingga 21 bulan itu kelihatan normal dan sihat pada waktu pagi semasa hendak ditinggalkan oleh ibu bapa mereka.
Bagaimanapun, keempat-empat kanak-kanak itu didapati tidak dapat berdiri atau berjalan pada sebelah petang.
Mereka dikejarkan ke hospital berhampiran dan hasil pemeriksaan doktor mendapati tulang kaki mengalami keretakan namun tidak dapat dipastikan punca kecederaan itu.
Ibu kepada salah seorang mangsa, Terika Graham memberitahu News Herald, anaknya juga mengalami ruam kulit, selain rambut anaknya yang kotor.
Dia tidak menolak kemungkinan anaknya dibiarkan merangkak di kawasan pusat penjagaan itu oleh pengasuh wanita itu.
Graham berkata, anaknya sudah beransur pulih dan kecederaan itu tidak setetuk tiga kanak-kanak lain.
“Dia masih belum dapat berdiri dengan sempurna disebabkan kecederaan itu tetapi berharap pulih sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya.
Rakaman kamera litar tertutup di pusat berkenaan mendapati, pengasuh itu berjalan dengan kanak-kanak 18 bulan itu sambil memegang tangannya.
Laporan tangkapan suspek memberitahu, pengasuh berkenaan menendang kanak-kanak itu ke atas sebelum menyumbat dalam keretanya yang dipenuhi kanak-kanak lain dan ditarik keluar dengan kuat.
Selepas kanak-kanak berusia 18 bulan itu bangun dari tidur dari dalam kereta, dia tidak dapat berdiri dengan betul dan kakinya-hilang keseimbangan.
Suspek yang dibebaskan dengan jaminan polis dilarang untuk menghubungi mana-mana kanak-kanak sementara siasatan masih berjalan.
Dia kini menunggu untuk dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kecuaian kanak-kanak sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal.- MalaysiaGazette