Home Nasional Pengumuman penutupan siaran TV analog secara berperingkat petang ini

Pengumuman penutupan siaran TV analog secara berperingkat petang ini

Gobind
Gobind Singh Deo

LANGKAWI – Satu lagi sejarah dalam industri penyiaran negara bakal dicatatkan, dengan pengumuman penutupan siaran analog televisyen secara berperingkat, yang bakal membolehkan pengguna beralih ke siaran TV digital myFreeview sepenuhnya.

Pengumuman bersejarah akan dilakukan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, dalam satu majlis di Kompleks Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Langkawi petang ini.

Beliau yang berada di sini dalam lawatan kerjanya akan turut melakukan tinjauan kejayaan peralihan sistem siaran tv dari analog ke digital di pulau peranginan ini, yang sudah memasuki minggu kedua pelaksanaan.

Pada sebelah pagi, Gobind akan mengadakan lawatan ke pusat internet Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, sebelum meninjau bilik operasi ‘Analogue Switch Off’ (ASO) di Kompleks APM Daerah Langkawi.

Terma ‘Analogue Switch Off’ (ASO) merujuk kepada penutupan siaran TV, yang ditawarkan secara percuma kepada rakyat oleh RTM sejak 1963 dan oleh TV3 sejak 1984, menggunakan teknologi lama (analog).

Pengguna di Langkawi mula beralih ke siaran TV digital sejak 21 Julai lalu, selepas pemancaran TV analog dari Gunung Raya, di sini ditutup dan digantikan dengan pemancaran TV digital myFreeview yang boleh memberi liputan siaran TV digital, dengan kualiti siaran yang lebih baik.

Pemilihan Langkawi sebagai kawasan rintis bagi permulaan penutupan siaran TV analog dibuat memandangkan Langkawi telah mempunyai ekosistem TV digital yang mantap, di mana liputan siaran TV Digital adalah menyeluruh, di samping penyelesaian pengagihan dekoder percuma kepada isi rumah Bantuan Sara Hidup (BSH).

Malaysia merupakan negara ketiga di rantau ASEAN yang akan menjalankan penutupan siaran TV analog selepas Brunei serta Singapura, yang telah menutup siaran TV analog mereka sepenuhnya dan bersiaran TV Digital masing-masing pada 31 Dis 2017 dan 1 Jan 2019. – MalaysiaGazette