Home Politik Sampai bila PH mahu abaikan golongan belia? – Pemuda MIC

Sampai bila PH mahu abaikan golongan belia? – Pemuda MIC

KUALA LUMPUR – Ketika menjadi pembangkang segala macam janji ‘bulan bintang’ ditaburkan kepada golongan muda dengan dakwaan kumpulan itu telah lama terabai.

Bagaimanapun sejurus menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerajaan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah lupa tentang janji mereka.

Berikutan itu, Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Theeagesh Ganesan melahirkan rasa gusar dengan tindak tanduk PH yang bukan sahaja tidak melaksanakan apa yang termaktub dalam manifesto mereka kepada golongan belia sebaliknya berpolitik tidak habis-habis sehingga merugikan rakyat.

“Walaupun hakikatnya PH sudah berkuasa lebih 450 hari, mereka ghairah menuding jari kepada kerajaan BN dengan fitnah, apakah tidak cukup dengan tohmahan dan penyemaian benih benci sebelum-sebelum ini? Kini anda adalah kerajaan tapi masih berperangai seperti pembangkang.

“Pimpinan PH juga begitu sibuk melakukan ‘penjenamaan semula’ hasil inisatif serta usaha puluhan tahun kerajaan sebelum ini, lebih mengecewakan, jutaan ringgit habis melakukan penjenamaan semula ini.

“Apakah kamu tidak malu berhadapan dengan rakyat yang begitu mempercayai anda sehingga mengundi kamu sehingga menang? Bukankah sudah jadi tanggungjawab untuk tunaikan apa yang kamu katakan tidak mustahil itu?

“Antara golongan yang paling terkesan adalah belia kerana sehingga apa yang dijanjikan tidak lagi kunjung tiba, hanya tamparan demi tamparan sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Theeagesh yang ketika sentiasa turun padang bersama-sama Pemuda MIC berjumpa dengan kumpulan-kumpulan belia bagi mendengar keluh kesah mereka dengan menyenaraikan kembimbangan mereka.

Antaranya, pembayaran balik hutang Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang di rasakan jauh lebih ‘keras’ tindakannya berbading sebelum ini.

“Salah satu faktor utama pengundi muda, khasnya siswazah IPT melafazkan sokongan kepada PH adalah janji berkenaan pembayaran balik PTPTN. Perlu ingat, ketika PRU13, pakatan pembangkang ketika itu telah bercadang dalam manifestonya untuk memansuhkan pinjaman PTPTN dan memberikan pendidikan tinggi percuma buat semua pelajar universiti awam.

“Menyedari janji tersebut amat tidak realistik, mereka kemudian meminda ianya dalam manifesto PRU14 menawarkan pembayaran balik pinjaman PTPTN hanya apabila gaji peminjam mencecah RM4,000.

“Lepas menang, lain pula cerita. Kini PH menetapkan peminjam dengan gaji RM2,000 ke atas membuat bayaran balik pinjaman tersebut yang jelas sekali membebankan apatah lagi kos sara hidup semakin meningkat sejak PH ambil alih tampuk kuasa.

“Kita dari awal sudah akui peminjam seharusnya membayar balik pinjaman pendidikan itu untuk disalurkan semula kepada pelajar lain tetapi kamu ‘gula-gulakan’ golongan muda ini?,” soalnya.

Dalam pada itu, Theeagesh juga menggariskan permasalahan lain seperti peluang pekerjaan yang sebelum ini dengan lantang dijanjikan dengan pekerjaan dengan gaji minimum sebanyak RM2,500.

“Bolehkah Menteri Belia dan Sukan, Saudara Syed Saddiq menjelaskan berapa peratus dari 1 juta peluang kerjaya tersebut yang telah diwujudkan sejak Mei 2018? Adakah Syed Saddiq sangat bijak bercakap terutamanya dalam laman sosial tampil memberi penjelasan mahupun akui ianya hanya retorik?

“Lebih sedih apabila Tun Mahathir sendiri tidak acuh sahaja mengatakan ini adalah satu fenomena biasa sambil menuding jari kepada golongan belia kononnya tidak cukup kemahiran mahupun pendidikan walhal itu adalah tanggungjawab mereka.

“Ini tidak, asyik syok sendiri sahaja,” katanya.

Kata Theeagesh lagi, bukan sahaja golongan belia sukar mendapatkan pekerjaan, lagi-lagi dengan lambakan golongan pekerja yang diberhentikan, malah persaingan mendapat kerja semakin sengit.

“Sedihnya, peluang kerjaya pula terhad dan makin berkurangan dengan prestasi ekonomi negara yang makin lemah dan memaksa entiti perniagaan melaksanakan langkah penjimatan malah sekarang kita juga di hidangkan dengan khabar berita bagaimana pemandu Grab terjejas pendapatan kerana polisi kerajaan yang baharu,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, banyak contoh lain yang berderet panjang boleh diberikan tentang bagaimana terjejas keadaan golongan  belia akibat kesan daripada janji serta pembohongan oleh ahli politik demi undi serta kuasa semata-mata.

“Saya belum bercakap tentang kononnya pendidikan percuma, kenaikan yuran khasnya di IPTA. Sebenarnya apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan kini? Adakah kamu fikir boleh berterusan berbohong dan menjadikan rakyat agenda politik kamu sampai bila-bila.

“Jika mereka boleh menangkan kamu sebelum ini, golongan ini juga boleh tumbangkan kamu kelak, tolong celik sebelum terlambat, cukup berpolitik sepanjang masa selain menuding jari dan menceritakan ‘dongeng’ tentang bagaimana bankrapnya kerajaan.

“Tolong bangkit dan mula laksanakan apa yang telah kamu janjikan itu, jangan terus perbodohkan rakyat,” katanya. –MalaysiaGazette