KUALA LUMPUR – Adalah lebih baik sekiranya Ahli Parlimen Kuantan dan Bentong, Fuziah Salleh dan Wong Tack melepaskan jawatan masing-masing kerana telah memutar-belitkan fakta berhubung isu operasi kilang Lynas Malaysia.
Malah, kedua-duanya juga tidak tetap pendirian berhubung isu Lynas yang diperjuang bermati-matian sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.
Najib berkata, semasa menjadi ketua negara beliau sememangnya ada meletakkan kebimbangan terhadap operasi kilang tersebut terutamanya ancaman terhadap sisa yang dikeluarkan.
Namun ia tidaklah seperti yang digambarkan oleh kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan.
“Sebab tu saya kata saya tuntut mereka letak jawatan sekarang ni sebab mereka dah tipu orang ramai.
“Kalau dia ada maruah, dia letak jawatanlah. Tapi, saya tak fikir dia ada maruah,” katanya pada forum khas bertajuk “Hard Truth: Cash Is King“, yang diadakan di PWTC di sini malam ini.
Katanya lagi, sebagai seorang ahli Parlimen, Fuziah sebelum ini telah mengada-ngadakan cerita untuk menakut-nakutkan orang ramai terutama penduduk Kuantan terhadap bahaya yang akan diterima jika Lynas diteruskan beroperasi.
Najib mendakwa Fuziah tidak jujur dalam isu tersebut apabila menyembunyikan beberapa kebenaran fakta berhubung perkara itu.
Malah, beliau turut mendakwa bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menerima bayaran RM175 juta dari Lynas baru-baru ini. – MalaysiaGazette