MEKAH – Ibadah haji yang merupakan perhimpunan terbesar umat Islam dari seluruh dunia menjadi bukti kesepakatan mereka peringkat antarabangsa.
Presiden dan Ketua Masjid Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdul Rahman bin Abdul Aziz Al Sudais berkata, ibadah haji adalah perhimpunan aman dan bukan tempat untuk demonstrasi.
“Ia juga membuktikan Islam menolak keganasan,” katanya dalam pertemuan dengan wakil-wakil media dari negara-negara Islam di sini baru-baru ini.
Malaysia diwakili Radzuan Hassan dari MalaysiaGazette dan Mohd. Hanafiah Hashim (Sinar Harian).
Beliau juga mahu laporan media mengenai ibadah rukun kelima umat Islam itu menjadi refleksi dan tanggungjawab kepada kesucian agama.
Tugas media, katanya, perlu bagi memberi kesedaran kepada umat Islam seluruh dunia dengan memberi mesej positif.
“Tanggungjawab besar kamu (wakil media) untuk menterjemah apa yang kamu lihat pada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi menyediakan layanan terbaik kepada jemaah haji,” katanya.
Menurut Sheikh Abdul Rahman, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya menerima kedatangan tetamu Allah pada musim haji kali ini dengan sistem bersepadu yang disediakan kerajaan dua masjid suci itu.
Beliau menambah, Arab Saudi akan sentiasa membuat penambahbaikan dari masa kesemasa.
Beliau juga memaklumkan, pihaknya menyediakan penterjemahan khutbah Arafah dalam enam bahasa buat kali kedua berturut-turut dengan harapan ia sampai kepada lebih ramai umat Islam seluruh dunia. – MalaysiaGazette