Home Utama Keluarga Nora Anne berang didekati media

Keluarga Nora Anne berang didekati media

Nora Anne Quoirin

NILAI – Keluarga remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lepas, berang apabila petugas media tempatan dan antarabangsa cuba mendekati mereka untuk ditemu bual di kawasan resort The Dusun, Pantai, di sini.

Petugas media yang menunggu terserempak dengan empat orang yang dipercayai anggota keluarga mangsa semasa mereka berjalan kaki keluar dari kawasan resort itu menghala ke arah Gunung Berembun dengan diiringi seorang wanita tempatan.

Ketika dihampiri, seorang lelaki yang dipercayai bapa mangsa memarahi petugas media yang cuba merakam gambar mereka dan meminta supaya tidak berbuat demikian.

“Jangan ambil gambar! Tolong berhenti merakam. Bagaimana kalau ini berlaku kepada keluarga kamu,” katanya.

Melihat respons mereka, pihak media terpaksa akur dan usaha untuk mendapatkan kenyataan daripada keluarga Nora Anne berhubung kejadian sejak hari pertama dia dilaporkan hilang terus gagal.

Selain itu, tujuan kesemua mereka menuju ke arah Gunung Berembun juga tidak diketahui.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ke empat hari ini terus menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa.

Pemberita dan jurugambar serta jurukamera pelbagai agensi media mula berkumpul di laluan masuk ke resort berkenaan sejak pukul 7 pagi, malah ada juga di kalangan mereka yang sanggup bermalam di kawasan berhampiran resort itu.

Sehingga kini, pihak media masih tidak dibenarkan memasuki kawasan resort berkenaan dan dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.

Pada masa yang sama kekuatan anggota dalam operasi SAR kesan Nora Anne Quoirin ditingkatkan kepada 206 anggota hari ini berbanding 159 anggota semalam.

Agensi keselamatan yang terlibat dalam SAR antaranya polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Perhutanan negeri, petugas Sapura serta penduduk tempatan, termasuk Orang Asli.

Operasi SAR yang kini memasuki hari keempat itu turut menggerakkan enam ekor anjing K9 iaitu masing-masing dua daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta APM.

Gadis Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu sebelum keluarga itu menyedari kehilangan Nora Anne dari bilik penginapannya di resort itu pada pukul 8 pagi keesokannya.

— BERNAMA

Artikel berkaitan:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/06/remaja-ireland-hilang-polis-nafi-kes-culik/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/06/operasi-sar-nora-anne-berjalan-24-jam-polis/

Remaja Ireland hilang: SAR Unit Udara PDRM diperluas