Home Nasional Kereta terbang jadikan hobi peribadi bukan kereta nasional, kata Rafidah

Kereta terbang jadikan hobi peribadi bukan kereta nasional, kata Rafidah

Pengerusi Air Asia X, Tan Sri Rafidah Aziz berucap pada Majlis Seri Wacana Perdana "Faktor Pasukan Menimbulkan Kemajuan Ekonomi Malaysia dan Bagaimana Untuk Mengatasinya" di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 07 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz tidak bersetuju dengan idea Kementerian Pembangunan Usahawan untuk memperkenalkan projek kereta terbang.

Pengerusi Air Asia X itu berkata, projek itu tidak sepatutnya diangkat sebagai projek nasional sebaliknya hanya dianggap hobi peribadi.

“Hendak buat kereta terbang, okaylah dan teruskan sebagai hobi peribadi, tiada siapa halang tapi janganlah sampai jadi projek nasional.

“Kita tidak ada basikal untuk diberikan kepada murid-murid di Sabah dan Sarawak, mereka terpaksa berjalan setiap hari.

“Sebenarnya bukan mudah untuk cipta kereta dan terbang. Perlu ada peraturan dan anda fikir Malaysia yang pertama menciptanya?

“Jerman, Jepun sudah buat, China pun sama libatkan kos jutaan ringgit dan tidak mudah seperti disangka.

“Drone pun ada peraturan dan hendak terbangkan drone, perlu ada lesen juruterbang. Di mana hendak letak kereta ini? Atas Yayasan Kepimpinan Perdana?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Wacana Perdana Siri 21 bertajuk Team Factors Impending Malaysia Economic Progresss And How To Overcome Them di Yayasan kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Sebelum ini ramai memperlekehkan model skala kecil kereta terbang dikenali Vector yang akan dibangunkan oleh sebuah syarikat tempatan, Aerodyne Sdn. Bhd. di media sosial. – MalaysiaGazette