LONDON – Bekas bintang Villareal, Manchester United dan Atletico Madrid, Diego Forlan mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak profesional hari ini pada usia 40 tahun.
Sambil menyifatkan bukan satu keputusan yang mudah, pemain antarabangsa Uruguay itu sedar akan tiba juga hari buat dirinya yang terpaksa menggantung but.
“Walaupun saya tak mahu hari ini tiba, namun saya harus menerima hakikat bahawa suatu hari ianya tetap datang.
“Hari di mana saya harus berhenti bermain bola sepak secara profesional.
“Saya sudah mempertimbangkan beberapa tawaran namun saya telah memberikan alasan dan menolaknya,” katanya di laman Twitter miliknya.
Forlan merupakan nama legenda dalam generasi emas Uruguay Yang membantu negara kecil itu mara ke separuh akhir Piala Dunia 2010.
Pada temasya berprestij itu juga, Forlan telah memenangi Anugerah Bola Emas dan Pemain Terbaik Kejohanan.
Dia turut berkongsi kasut emas dengan Thomas Muller, Wesley Sneijder dan David Villa.
Untuk rekod, Forlan menjaringkan 221 gol daripada 582 penampilan di peringkat kelab sepanjang lebih dua dekad kariernya. – MalaysiaGazette