KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan Program Subsidi Petrol yang hendak dilaksanakan kerajaan kini sedang dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan.
Katanya, hasil rundingan akan dibawa kepada jemaah menteri untuk dipertimbangkan dan mendapatkan kelulusan.
“Kementerian telah selesai mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkepentingan dan telah meneliti serta mengambil kira input-input tersebut bagi pelaksanaan program ini.
“Dengan semua persediaan yang telah dibuat, Kementerian komited untuk melaksana program yang telah dijanjikan pada tahun ini juga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Saifuddin menegaskan, agar semua lapisan masyarakat termasuk parti-parti politik, Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk bersama-sama membantu menjayakan program tersebut. – MalaysiaGazette