KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal dari India, Dr. Zakir Naik bakal muncul di pentas untuk menyampaikan dakwah dalam satu program Jelajah Dr Zakir Naik Ke Kelantan 2019 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad di Kota Bharu, malam ini.
Beliau akan berada di pentas itu bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan pendakwah tersohor tanahair, Ustaz Azhar Idrus.
Program dijangka bermula pada pukul 7 petang dan dimulakan dengan solat Maghrib serta Isyak diikuti penampilan Zakir pada pukul 9 malam.
Bagi tujuan itu, seramai 500 orang petugas keselamatan akan ditempatkan di stadium tersebut bagi mengawal keselamatan program dan keadaan lalu lintas.
Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan, Mohd Aliman Ismail berkata, daripada jumlah itu seramai 170 orang terdiri daripada petugas Jabatan Amal.
Katanya, selain itu program berkenaan turut melibatkan anggota polis, Penguasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dan lain-lain petugas sukarelawan.
Jelas beliau, pihaknya diberi tanggungjawab untuk membantu polis dalam mengawal lalu lintas.
Orang ramai yang berhasrat untuk mengikuti program tersebut dicadangkan supaya menaiki motosikal sekiranya tidak bersama keluarga, katanya. – MalaysiaGazette