KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A Samad yang sedang berdepan tuduhan rasuah RM2.8 juta.
Bung Mokhtar yang merupakan bekas Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA) bersama Zizie dikatakan menerima wang suapan RM2.8 juta bagi pelaburan RM150 juta oleh Public Mutual.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membacakan keputusan berhubung permohonan itu memutusan tidak ada sebarang keperluan untuk pemindahan itu kerana Mahkamah Seksyen ‘berkemampuan’ mendengar kes tersebut.
“Sebenarnya semua pihak telah bersetuju untuk permohonan pemindahan tidak menghalang mahkamah daripada menjalankan kewajibannya untuk pertimbangan dengan berhati-hati merit permohonan di bawah Seksyen 417(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Jadi tuduhan yang difailkan terhadap mereka di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak ada apa-apa isu baru pun, saya tidak nampak ada sebarang keperluan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai memfailkan notis usul untuk memindahkan kes rasuah Mahkamah Tinggi pada pada 4 Julai lepas.
Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Tuduhan pertama, Bung Moktar didakwa sebagai ejen kepada FELCRA iaitu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad (ketika itu) memperoleh suapan RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya Zizie Izzete.
Rasuah itu adalah sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati jam 12.30 tengah hari, 12 Jun 2015.
Bagi tuduhan kedua, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Tuduhan ketiga pula, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen Public Mutual Berhad melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund atas nama isterinya.
Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Bung Moktar didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(4) akta sama.
Zizie Izette juga didakwa pada tarikh sama atas pertuduhan bersubahat dalam tiga pertuduhan yang dihadapi Bung Moktar.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali jumlah nilai suapan yang menjadi perkara hal kesalahan itu atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette