Home Nasional Semak kesahihan visa haji Furada terlebih dahulu

Semak kesahihan visa haji Furada terlebih dahulu

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bakal jemaah haji yang ditawarkan visa Furada disaran menyemak kesahihan visa mereka bagi mengelakkan ditipu oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan atas keghairahan mereka yang mahu menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Ketua Pengarah Pusat Perunding Haji Furada, Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji berkata, semakan itu boleh dibuat melalui sistem dalam talian milik Kementerian Luar Arab Saudi dengan hanya menggunakan pasport mereka.

Menurutnya, semakan awal itu penting bagi memastikan bakal jemaah haji tidak menjadi mangsa penipuan ‘ulat’ atau broker visa tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan sempena musim haji.

“Isu ini berlaku apabila ulat visa menjanjikan kelulusan visa Furada kepada agensi pelancongan tetapi gagal mengotakan janji. Sebab itu kita lihat banyak kes penipuan berlaku sehingga ada yang edit kertas visa sedangkan dalam sistem tiada nama.

“Ada pula jemaah dan agensi pelancongan yang terlalu percaya pada ulat visa ini dan tidak langsung menyemak. Kelulusan ini ‘straightforward’ (mudah) jika semak lulus memang dia lulus, (tetapi) jika tiada memang kuota tidak diluluskan. Sistem yang digunakan itu sungguh baik dan jarang sekali ada kesilapan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Selasa lepas, seramai 26 jemaah rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah kerana memiliki visa haji Furada yang tidak sah, menyebabkan mereka terpaksa diterbangkan pulang ke Malaysia.

Visa Furada merupakan visa haji yang diperoleh dengan berurusan secara terus dengan Kedutaan Arab Saudi dan tidak melibatkan Lembaga Tabung Haji atau kuota haji sesebuah negara. Ia biasanya diberikan pada saat-saat akhir berdasarkan kekosongan yang ada.

Sementara itu, Ahmad Tajuddin berkata, agensi pelancongan juga perlu lebih bertanggungjawab dengan memastikan sistem perniagaan dan pekerjaan urusan haji mereka lebih teratur.

Katanya, mereka perlu bersikap terbuka dan berterus terang dengan pakej haji yang mereka tawarkan.

“Hari ini jika kita lihat poster yang menawarkan pakej haji, kebiasaannya ia turut termasuk dengan visa. Jadi apabila bakal jemaah lihat mereka akan ingat oh memang mereka akan turut dapat visa itu.

“Tetapi visa adalah satu perkara yang berbeza kerana agensi pelancongan perlu mendapatkan kuota terlebih dahulu, (oleh itu) penerangan perlu diberikan kepada bakal jemaah supaya mereka faham apakah situasi sebenar status mereka,” tambahnya. – Bernama