Home Utama Cuaca mendung, kabus tebal pada hari ketujuh SAR Nora Anne

Cuaca mendung, kabus tebal pada hari ketujuh SAR Nora Anne

Nora Anne Quoirin

NILAI – Hari ini genap seminggu remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, hilang dan keazaman pasukan menyelamat untuk menemukan mangsa tidak pernah padam bahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) gadis itu diperhebatkan dengan kehadiran pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komando VAT 69.

Pemerhatian Bernama mendapati kawasan operasi yang bermula pada 7 pagi dan berakhir 4 pagi keesokan harinya, sejak seminggu lepas, diselubungi kabus tebal awal pagi ini, ekoran dikelilingi hutan tebal, berbukit dan berdekatan dengan Gunung Berembun.

Sepanjang minggu ini, perubahan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan pada hari kelima dan semalam menyebabkan kawasan pencarian berkabus, mendung dan agak gelap sehingga tengah hari.

Perubahan cuaca itu akan menyebabkan kawasan pencarian di dalam kawasan hutan lembab, licin dan berlumpur sekali gus akan memberi cabaran kepada anggota operasi SAR itu.

Seawal 7 pagi juga, petugas media tempatan dan antarabangsa mula berkampung bagi mengikuti perkembangan lanjut operasi SAR berkenaan.

Sementara itu, aset keselamatan yang membawa anggota operasi dilihat bergerak masuk ke kawasan kejadian seawal 7 pagi, dan ia berterusan.

Sehingga semalam, kekuatan anggota operasi berkenaan terus ditingkatkan kepada 261 anggota dan diperkuatkan dengan penglibatan pasukan Komando VAT 69 dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Selain polis, agensi keselamatan yang turut terlibat adalah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Remaja Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu dilapor hilang selepas tiba di Malaysia bersama keluarganya pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada 8 pagi Ahad.

— BERNAMA